05 September 2020

MESKIPUN KONSERT 'LIVE STREAMING', NAMUN WINGS TETAP UNGGUL



Konsert 'Live Streaming' Kumpulan Wings mendapat tontonan lebih 3,500 peminat di 10 buah negara iaitu United Kingdom, Switzerland, Australia, New Zealand, Taiwan, Singapura, Brunei, Hong Kong dan Malaysia sendiri.

Malah dengan kehadiran lebih 260 penonton juga, konsert MARii Wings Kita Merdeka di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre, Jalan Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, berjaya menampilkan keunggulan mereka sebagai kumpulan rock disegani.

"Ia adalah hari bersejarah bagi kami kerana dapat beraksi dalam sebuah konsert maya 'Live Streaming' secara besar-besaran dan ditonton oleh peminat di seluruh dunia.

"Ia satu pencapaian baru dan sangat bermakna buat kami. Ini satu langkah yang baik dan perlu dijalankan terus untuk artis-artis lain pula.

"Terima kasih kepada penganjur yang datang melamar kami untuk konsert ini dan agak terperanjat juga kerana hanya ada tempoh sebulan setengah daripada tarikh perjumpaan dibuat bagi perbincangan sehingga persembahan ini berlangsung.

"Awalnya, saya kata bolehkah dan mampukah untuk Wings lakukan projek persembahan berskala besar ini. Namun, penganjur amat yakin dan Alhamdulillah kepercayaan itu akhirnya menjadi satu kenyataan. Terima kasih juga kepada pihak penaja lain," kata Awie selaku penyanyi utama. 

Klik untuk gambar besar

"Perjalanan selama 35 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Jatuh bangun, bergaduh dan berbaik serta sebagainya sampailah kami ke peringkat ini iaitu lebih tiga dekad. Terasa terlalu cepat masa berlalu.

"Diam tak diam, kami membesar di atas pentas bersama-sama. Kami kongsi menangis dan gembira juga. Macam-macam peristiwa kami lalui bersama.

"Alhamdulillah, Tuhan sayangkan kami dan Wings mampu meneruskan perjuangan ini bersama selagi diperlukan. Terima kasih tak terhingga juga kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara kerana memberi sokongan," tambahnya memberitahu bahawa persembahan itu juga bertujuan bagi meraikan kemerdekaan negara, termasuk menyambut ulang tahun ke-35 Wings di persada seni tanah air.


Untuk info, lagu-lagu seperti Puisi Merdeka, Kau Bukan Brader, Mabuk 7 Lautan, Crazy Night, Dalam Kehadiran Sofea, Pengabdian Kekasih, Sejati, Jerangkung Dalam Almari, Romania, Ingatkan Dia dan Sekeping Kertas Bermaruah dan Bujang Senang telah dipersembahkan dengan hebatnya oleh mereka.

"Wings ada berpuluh album. Jadi, kalau asyik nak kena ulang nyanyi lagu yang sama sahaja, lebih baik tak payah kami buat banyak album.

"Setiap kali Wings buat persembahan, saya akan fikirkan kepuasan pemuzik ini. Kalau mereka puas termasuk saya, insya-Allah penonton juga akan mendapat kepuasannya.

"Lagipun, kami diberi masa lebih satu jam untuk buat persembahan dan syukur kesemua lagu ditampilkan agak terhad," ujar Awie lagi dipetik sebagai berkata. - HM


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: