18 September 2020

PENGARAH DRAMA DEDAH TERKENA SANTAU, MASIH JALANI RAWATAN SUSULAN



Seorang pengarah drama yang hanya mahu dikenali sebagai A itu mendedahkan suatu ketika dahulu kulit wajahnya ini putih mulus, licin dan bersih sebelum bertukar menjadi kusam sepeti terdapat kesan terbakar memenuhi hampir keseluruhan wajahnya sejak empat bulan lalu.

Tidak cukup itu, tompok-tompok putih seakan-akan sopak dan panau yang kelihatan membuatkan ramai kenalannya berasa terkejut melihat perubahan peliknya.

A memberitahu walaupun pada mulanya berasa pelik dengan keadaan itu namun dia tidak mengesyaki apa-apa selain menganggap ia sekadar masalah kulit.

"Saya sendiri rasa tak percaya melihat wajah saya sampai saya berjumpa dengan pakar dermatologi untuk membuat rawatan wajah bagi menghilangkan kesan itu namun nampaknya tidak berjaya.

"Sampaikan doktor yang merawat meminta saya berjumpa dengan pakar perubatan Islam kerana doktor merasakan perubahan kulit wajah saya bagaikan ada sesuatu yang tidak kena," katanya.

Situasi itu juga membuatkan A terfikir untuk berjumpa dengan pakar perubatan Islam kerana dia mula merasakan sesuatu tidak kena pada dirinya.

Klik untuk gambar besar


"Jujurnya saya tidak berapa percaya perkara berkaitan ilmu hitam ni tetapi Saya mula rasa pelik dan bingung... kenapa boleh jadi macam ni?

"Atas nasihat kawan-kawan yang melihat saya berbeza dan tidak seperti dulu, mereka sarankan saya agar berjumpa dengan ustaz dan berubat secara tradisional kerana mereka yakin saya sudah terkena mandrem," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai keadaannya, A memberitahu ketika dia menjalani penggambaran di Kuatan, Pahang sekitar tiga minggu lalu, dia berjumpa dengan seorang ustazah dikenali sebagai Kak Ina yang pakar dalam perubatan Islam.

Ketika sampai di rumah ustazah berkenaan, dia berasa pelik apabila wanita berkenaan sering memandangnya ketika dia sedang menunggu giliran untuk berubat.

"Ketika saya duduk bertemu dengannya, perkara pertama dia beritahu, saya terkena sihir iaitu santau angin sudah lama! Saya memang tergamam kerana rasa tak percaya dengan apa diberitahu.

"Santau angin yang dihantar kepada saya menggunakan bomoh dari negara seberang bertujuan untuk menjatuhkan saya dalam perniagaan, karier dan keluarga," tuturnya.


Tambah A, ketika dia dirawat, ustazah itu tiba-tiba memuntahkan sebuah botol kaca bersaiz sebesar ibu jari yang mengandungi tiga batang jarum emas, helaian rambut dan darah kotor.

Apa membuatkan dia lebih tergamam, ustazah itu memberitahu botol kaca tersebut 'menumpang' di dalam perutnya dan sekiranya ia pecah dia akan mati.

Kongsi A, selain botol kaca, ustazah memaklumkan santau angin itu turut dihantar kepadanya dengan kaedah mantera pada gambarnya oleh individu berniat jahat berkenaan.

"Ustazah memberitahu gambar saya telah digunakan untuk sihir ini. Bukan saja saya disantau, malah gambar saya juga digunakan untuk menjadikan wajah saya hodoh dan cacat. Sebab itulah muka saya tidak seperti dulu... hodoh.

"Selepas melakukan rawatan kepada saya, ustazah itu kelihatan lemah dan kejadian botol kaca yang keluar daripada mulutnya juga disaksikan oleh 20 orang yang turut berada dalam rumah tersebut," jelasnya.

Kata A, selepas melakukan rawatan itu, keadaan dirinya menampakkan perubahan positif meskipun dia masih merasai kesan akibat santau tersebut.


Hal itu juga membuatkan dia berjumpa pula seorang pakar perubatan Islam dikenali sebagai Abang Ijol di Johor dan dimaklumkan wajahnya seperti terbakar disebabkan gambarnya digantung di atas bara api agar dia berasa sesak nafas.

"Bagaimanapun jelas Abang Ijol itu, ada kemungkinan gambar saya jatuh ke dalam bara api dan menyebabkan wajah saya terjadi seperti sekarang.

"Alhamdulillah selepas melakukan rawatan keadaan saya semakin beransur pulih selepas mandi di bawah pokok bidara. Cuma saya masih perlu menjalani rawatan susulan bagi memastikan benda 'kotor' dan santau yang dihantar dibersihkan sepenuhnya," kata A.

Tidak mengetahui angkara siapa yang cuba menganiaya dirinya, A bagaimanapun cuba berfikiran positif dan menganggap apa yang berlaku pada dirinya adalah ujian daripada Allah.

"Ustaz ada juga cuba tengok-tengokkan siapa dalangnya namun orangnya 'berselindung di sebalik kabus' dan tidak dapat dilihat secara jelas," ujarnya.

Sementara itu, A berharap kisahnya itu dapat menjadi pengajaran dan tauladan kepada orang ramai bahawa perbuatan syirik adalah berdosa besar selain berharap pelaku dalam kesnya insaf dan bertaubat.


www.myartis.com / Sumber: mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: