08 September 2020

PERGERAKAN MIMI LOMA TERBATAS, PENGLIHATAN KABUR & KURANG PENDENGARAN



Akibat tersungkur dalam rumah pada Mei lalu, pergerakan pelakon dan penyanyi era 1960-an, Mimi Loma, 74, masih dalam keadaan terbatas.

Selain itu, adik kepada Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Allahyarhamah Mariani itu menderita penyakit paru-paru, sendi dan katarak yang menyebabkan penglihatan kabur.

Mimi Loma atau nama sebenarnya, Aminah Ismail berkata, keadaan kesihatannya masih tidak mengizinkan untuk keluar rumah: "Saya tinggal bersama anak dan tiga cucu. Sesekali rasa seronok apabila dikunjungi sanak saudara dan teman industri.

"Pergerakan terbatas sejak tersungkur kira-kira empat bulan lalu. Penglihatan semakin kabur, bercakap pun kena kuat. Jika tidak, saya tak dapat mendengarnya.

"Sekarang, saya banyak menghabiskan masa atas katil. Kalau keluar pun untuk rawatan susulan di hospital. Bergerak pun terbatas menggunakan kerusi roda.

"Tiada apa yang diinginkan, diberikan kesihatan baik bagi meneruskan kehidupan dan diberikan umur panjang untuk terus mengikut perintah Allah," tutur Mimi ketika menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di kediamannya di PPR Seri Semarak, Setapak, di sini, tengah hari tadi.

Klik untuk gambar besar


Turut hadir, Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Datuk Tumiran Mohd Kasdi. Selain menziarahi bintang lama, Dr Zulkifli turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM1000, lampin pakai buang dan keperluan lain daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Bagaimanapun, Mimi, antara penerima bantuan kewangan bulanan RM400 sejak 2012. Sewa bulanan rumah PPR sebanyak RM124 juga ditanggung oleh MAIWP sejak 2014. Dalam pertemuan singkat itu, Mimi meminta Zulkifli dan MAIWP menaik taraf katil di rumahnya.

"Jika pihak MAIWP dapat menyumbangkan katil seperti hospital sediakan lebih memudahkan pergerakan saya. Katil rumah ini tidak menyenangkan, saya cepat sakit belakang," katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, dia mendoakan Mimi akan cepat sembuh: "MAIWP kini mempunyai Skuad Jejak Asnaf Baitulmal yang berperanan turun padang menjejaki dan menyantuni mereka dalam kesusahan sekitar Wilayah Persekutuan.

"Bagi memudahkan orang ramai membuat laporan kepada MAIWP mengenai bantuan yang diperlukan, mereka boleh melihat aplikasi Mobile Jejak Asnaf atau singkatannya, MoJA yang diwujudkan. Sehingga kini, Baitumal MAIWP menerima 102 laporan menerusi aplikasi berkenaan dan 64 kes dapat diselesaikan," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: