10 September 2020

RAJA AZURA MAHU ANAK-ANAK JAGA NAMA BAIK IBU BAPA



Pengacara dan pelakon, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 48, berasa simpati dengan nasib menimpa penyanyi Nora Ariffin. Dek kerana itu, Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku itu mengingatkan anak selebriti agar berhati-hati dalam setiap perlakuan mereka.

Ibu tiga anak itu berpesan agar mereka mengingati Allah dan ibu bapa sebelum melakukan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi perbuatan yang mungkin boleh mencalarkan nama baik orang tua.

"Bayangkan, ibu bapa bersusah payah menyanyi dan berlakon hingga ada yang ditipu sehingga langsung tidak dapat bayaran, semata-mata mahu membesarkan anak-anak. Jadi sebelum melakukan sesuatu, sentiasalah mengingati Allah dan ibu bapa kita," pesannya.

Pengacara program bual bicara, Mingguan Wanita siaran Astro Prima itu mengulas mengenai penyebaran video anak Nora mengikut pandangannya sebagai selebriti senior yang memiliki tiga anak remaja.

Akui Raja Azura, sebagai ibu, hatinya tersentuh sebaik mendapat tahu mengenai berita tular itu. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Raja Azura adalah bagaimana penyanyi lagu 'Di Persimpangan Dilema' itu berdepan dugaan hebat itu.

Malah, Raja Azura mengaku menangis dan tidak putus berdoa memohon agar Nora dikurniakan kekuatan dalam menempuh detik sukar, sekalipun mereka tidak berkawan rapat.

"Sebaik mendapat tahu berita yang tular itu, saya berdebar, berderau dan pelbagai perkara bermain dalam fikiran. Kebetulan ketika video itu tular, anak perempuan saya, Mia berada di asrama.

Klik untuk gambar besar


"Nasib baik asrama Mia tidak ada bekalan air, jadi, ibu bapa diminta membawa anak masing-masing pulang ke rumah. Selepas apa yang berlaku kepada anak Nora, saya jadi terlalu risau kerana ada anak perempuan.

"Kalau boleh, saya mahu mengambil Mia pada tengah malam itu juga. Tetapi disebabkan jam sudah menunjukkan 1 pagi, jadi saya batalkan hasrat dan menunggu sehingga keesokan hari," katanya.

Raja Azura berkata, ketika menghubungi Mia dan memberitahu dia akan datang menjemputnya pulang, anak perempuannya itu meminta kebenaran untuk terus tinggal di asrama.

"Mia beritahu mahu duduk di asrama mengulang kaji pelajaran, tetapi saya tidak izinkan. Apabila tiba di rumah, saya panggil semua anak-anak.

"Saya ceritakan apa yang berlaku dan berpesan agar menjaga nama baik saya. Saya beritahu mereka, jika perkara seperti itu berlaku, mungkin saya boleh pengsan," ujarnya.

Raja Azura berkata, apa yang berlaku kepada Nora ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Baru kehilangan suami dan anak, Nora diduga dengan ujian hebat. Raja Azura tidak dapat membayangkan kepada siapa Nora hendak mengadu apabila diri diuji sebegitu.

"Bayangkan, kepada siapa dia hendak mengadu? Sekurang-kurangnya jika ada suami, adalah tempat untuk dia meluahkan masalah yang ditanggung. Takkan hendak mengadu kepada saudara mara? Paling tidak mereka hanya boleh meminta Nora bersabar, itu sahaja.


"Dalam perkara ini, kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa semata-mata. Saya yakin ibu bapa sudah memberikan tunjuk ajar, jadi anak-anak kenalah tahu menjaga maruah keluarga," tuturnya.

Bimbang anak-anak terjebak dengan perkara tidak diingini, Raja Azura tidak mengizinkan anak-anak keluar sesuka hati tanpa pengawasannya.

Malah, Raja Azura tidak kisah anak-anaknya, iaitu Megat Muhammad Raziq, 18, Megat Luqman Hakim, 17, dan Puteri Mikia Maizurah, 15, memarahi atau menganggap dia sebagai seorang ibu yang tidak 'sporting'.

Bagi Raja Azura, apa yang lebih penting, mereka sentiasa berada di depan mata. Raja Azura juga memantau aktiviti anak-anak di laman sosial serta menghalang mereka daripada terjebak dengan video langsung atau 'live'.

"Saya memang sentiasa berpesan kepada anak, terutama sekali si bongsu, Mia. Jika rakan-rakannya ingin membuat video langsung, tolong jangan masuk dalam video itu.

"Ini bukan bermakna saya tidak izinkan mereka menggunakan media sosial, tapi biarlah berpada-pada. Walaupun anak sudah besar, saya tidak izinkan mereka keluar sesuka hati. Ke mana saja, tidak kiralah jika ke kebun sekalipun, saya akan membawa anak-anak.

"Disebabkan anak-anak jugalah, saya sanggup menolak daripada menerima tawaran lakonan di luar daerah. Bagi saya, belum tiba masanya untuk mereka ditinggalkan sendirian tanpa pemantauan," katanya yang turut meminta rakan-rakan mendoakan agar Nora diberi kekuatan.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Raja Azura

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: