27 September 2020

"SAYA CAKAP PADA ARWAH KAKAK TAK NAK PERGI SHOW... PERASAAN ITU AMAT BERAT" - ZAMANI



Penyanyi Zamani Slam yang sepatutnya menjayakan persembahan Konsert Mini Bersama Zamani & Ameng di sebuah hotel di Pulang Pinang, semalam berkata, dia sebenarnya berat hati untuk ke sana.

Pada jam 1 tengahari semalam, kakak Zamani iaitu Zuraidah Ibrahim, 53, menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi buah pinggang di Hospital Pakar Al Islam, Kampung Baru.

"Saya cakap pada dia (arwah kakak) saya tak nak pergi show apabila melihat keadaannya agak teruk. Tapi, dia kata jangan kerana dah janji dengan orang. Nanti kena saman dan lagi pun ia babitkan karier saya.

"Perasaan itu amat berat. Saya dan isteri (Nur Juliana Abdul Rani) bertolak pun jam 9 pagi. Ketika sampai di Bukit Gantang, saya terima satu panggilan telefon yang dijawab oleh isteri.

"Dia diam selepas itu seperti sembunyikan sesuatu. Melihatkan keadaannya yang lain macam, saya bertanya perkara sebenar dan barulah dia jawab.

"Saya teruskan perjalanan ke lokasi persembahan untuk jelaskan kepada penganjur dan buat video. Mereka pun faham situasi saya," kata Zamani yang mengulas perbualan akhir dengan arwah kakaknya, pada malam kelmarin.

Klik untuk gambar besar


Menurutnya, untuk memandu kereta pulang semula ke Kuala Lumpur agak mustahil dan penganjur membantu membelikan tiket penerbangan pulang pada jam 5.45 petang.

"Kami bawa kakak ke hospital pada Khamis lalu untuk buat proses 'dressing' bahagian kakinya. Keadaannya ketika itu lemah dan dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Sejak itu, saya pastikan setiap malam pergi menjenguk dia. Saya difahamkan kakak meninggal sewaktu sedang buat rawatan dialisis. Siapa yang tak sedih kehilangan kakak. Sekarang tinggal saya dengan abang Zulfazli dan kami pun masing-masing tak sihat," tuturnya.

Zamani bagaimanapun berkata, hidup perlu diteruskan dan dia bersyukur sempat pulang untuk menyelesaikan urusan pengebumian kakaknya.

Jenazah Zuraidah yang juga ibu penyanyi Zynakal, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Keramat, Kuala Lumpur pada jam 9 malam.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: