23 September 2020

SEMAKIN SIHAT, DIBENAR KELUAR HOSPITAL - AZADAN RABBANI TERPAKSA TARIK DIRI DARIPADA ACARA



"Alhamdulillah, saya semakin sihat selepas tiga hari menerima rawatan di hospital. Jantung dan darah tinggi berada dalam keadaan baik. Cuma, saya perlu kawal gula dan akan menjalani rawatan susulan di tiga hospital yang berbeza.

"Saya dikesan mempunyai masalah saluran jantung tersumbat selepas membuat pemeriksaan di hospital. Awalnya, saya perasan, mata menjadi berat dan panas. Saya sangka ia ada kena mengena dengan kuasa kanta cermin mata yang perlu ditambah.

"Apabila melakukan pemeriksaan, kedai cermin mata menyarankan supaya saya menjalani pemeriksaan di hospital. Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, doktor mengesahkan saya ada penyakit darah tinggi.

"Saya terus ditahan di hospital dan ditempatkan dalam zon kuning. Mujur, saya cepat melakukan pemeriksaan kerana ia boleh membahayakan nyawa jika tidak dirawat dengan segera," kata ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 47, yang sudah dibenarkan pulang selepas tiga hari menerima rawatan di Hospital Selayang berikutan masalah saluran jantung tersumbat, kelmarin.

Azadan berkata, keadaan kesihatannya kini stabil, cuma masih di bawah pengawasan doktor dan perlu menjalani rawatan susulan dalam tempoh dua minggu lagi.

Katanya, doktor menyarankan menjaga pemakanan dan tidak melakukan pekerjaan yang boleh memberikan tekanan, selain makan ubat: "Saya bukan jenis makan banyak dan beriya-iya jika nak kata soal pemakanan menjadi punca. Lagipun, saya sedang berdiet.

"Kerja pula tiada dalam tekanan. Mungkin skop kerja tidak menentu masa hingga lewat pagi. Nak tidur pun otak masih berjalan fikir apa yang perlu dilakukan untuk program seterusnya.

"Justeru, saya kena berehat di rumah dalam tempoh dua minggu ini. Saya kena jaga pemakanan dan gula perlu dikurangkan. Ini bermakna, saya kena banyak berpuasa. Doktor pun ada membekalkan ubat," katanya.

Azadan berkata, dia perlu makan 20 biji ubat untuk siang dan malam dalam masa sehari: "Mujurlah, isteri sentiasa memantau ubat dan pemakanan. Nak buat macam mana, kenalah reda. Ramai rakan mencadangkan pelbagai jenis petua untuk menstabilkan gula dalam darah.

"Alhamdulillah, ramai yang begitu prihatin dan memahami keadaan saya. Terima kasih kerana sentiasa mendoakan kesihatan saya," luahnya.

Memandangkan keadaan kesihatan tidak mengizinkan, Azadan berkata, dia terpaksa menarik diri daripada acara hiburan yang membabitkan Rabbani.

"Saya membuat penjelasan ini supaya tidak timbul sebarang spekulasi atau perkara berbangkit pada kemudian hari. Sepatutnya, saya akan terbabit dalam sebuah program berbentuk pertandingan terbitan stesen radio IKIM.FM pada penghujung bulan ini. Tetapi, saya tak dapat menyertainya.

"Saya kena fokus pada kesihatan terutama untuk mengelakkan berlakunya tekanan darah tinggi. Saya sudah serahkan kepada vokalis utama, Mohd Asri untuk mengendalikan segala urusan membabitkan Rabbani," katanya.

Akuinya, dia percaya anggota Rabbani lain mampu menjalankan tugas: "Manalah tahu jika saya sudah tiada, sekurang-kurangnya mereka sudah mempersiapkan diri menguruskan kumpulan.

"Selain itu, saya terpaksa menangguhkan hasrat membuka satu lagi cawangan kedai makan di Saujana Putra. Sepatutnya, projek bersama rakan kongsi sudah bergerak, tetapi disebabkan sakit, kami terpaksa tunda pada November ini," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: