19 September 2020

TAHNIAH - RAJA AFIQ KINI SAH SUAMI POLIS VIRAL, SOFFYWANY YUSOFF



Pelakon Raja Afiq, 26, akhirnya bergelar suami kepada pilihan hatinya seorang anggota polis yang juga penyanyi baharu yang sebelum ini viral, Soffwany Yusoff, 31, dengan sekali lafaz, pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Mohamad Yusoff Lebai Hamzah di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, Selangor pada pukul 9 pagi. Majlis pernikahan diadakan secara tertutup dihadiri oleh keluarga terdekat.

Pada majlis itu, Raja Afiq menyerahkan wang hantaran berjumlah RM15,000, mas kahwin sebanyak RM1101 beserta lima dulang dan dibalas dengan tujuh dulang pihak perempuan.

Pasangan ini kemudiannya diraikan dalam satu majlis sederhana untuk kenalan dan media di Bukit Jelutong, Shah Alam. Sementara itu, pelakon drama 'Sayangku Kapten Mukhriz' ini bersyukur apabila pernikahan mereka dipermudahkan.

"Alhamdulillah syukur dipermudahkan semuanya, memandangkan sekarang kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, jadi kita adakan majlis pernikahan mengikut prosedur operasi standard.

"Biarpun perkenalan kami singkat, jodoh itu kuat mendekati kami. Kami berkenalan sejak hujung tahun lalu. Rapat dalam awal tahun ini.

Klik untuk gambar besar


"Selepas mengikat pertunangan pada awal Mac lalu, kami merancang majlis pernikahan, Ogos lalu. Namun, banyak perkara tergendala selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akhirnya, majlis dianjak bulan ini.

"Semoga fasa baru hidup kami ini akan terus membahagiakan... Insya-Allah," kata Raja Afiq yang dicungkil bakat menerusi pertandingan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2014.

Raja Afiq berkenalan dengan Soffwany, 31, yang juga anggota Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Instagram (IG): "Dia wanita yang sangat memahami, lemah-lembut dan baik... Saya cukup senang dengannya," tuturnya.

Sementara itu, Soffwany berkata, Afiq memahami jadual kerjanya yang padat lantas membuatkan dirinya selesa dan jatuh hati: "Afiq 'sweet' dan selalu mengambil berat dan tidak terlalu memberi tekanan kerana saya sentiasa sibuk dengan tugasan," ujarnya.

Pasangan ini dijangka mengadakan majlis bersanding Januari depan, di sini atau Ipoh, Perak. Raja Afiq atau nama penuhnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali dan bekas peserta program Suara Viral ini akan berbulan madu di Pulau Langkawi.

Ditanya mengenai cahaya mata, Raja Afiq berkata mereka tidak merancang dan bersedia menerima rezeki itu pada bila-bila masa. Pada Mei lalu, pasangan ini berkata sepatutnya melangsungkan pernikahan pada Ogos tetapi terpaksa ditangguhkan.


www.myartis.com / Sumber: mStar & Berita Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: