14 September 2020

"TAK NAK ORANG UNDI SAYA SEBAB ARTIS" - 2 TAHUN BUAT KERJA AMAL, RICH BERSEDIA JADI WAKIL RAKYAT



Vokalis kumpulan Estranged iaitu Rich mengakui dia sudah bersedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang berkemungkinan akan diadakan dalam masa tiga tahun lagi. Melangkah ke dunia politik bukan perkara baharu buat selebriti.

Rich, 38, ini berkata dia mengambil keputusan untuk bertanding menjadi calon wakil rakyat Tambunan, Sabah selepas dua tahun melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Estranged di kawasan perkampungan daerah itu.

Menurut pemilik nama Richael Lawrence Gimbang, dia mahu membantu penduduk kampung pendalaman yang berhadapan dengan masalah air, elektrik selain fokus kepada pendidikan generasi muda.

"Buat masa sekarang, saya hanya umum mengenai keputusan saya untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, bukan yang terkini. Saya akan bertanding untuk calon wakil rakyat Tambunan.

Klik untuk gambar besar


"Tapi saya tak tahu lagi nak sertai parti mana. Sejak 2018, saya dan ahli kumpulan Estranged selalu membuat CSR ke kampung pendalaman sekitar kawasan Tambunan. Jadi, dah tiba masanya untuk saya bertanding pula.

"Saya ada visi sepanjang tiga tahun sebelum pilihan raya seterusnya dan saya mahu lakukan yang terbaik untuk penduduk kampung terutamanya yang berdepan dengan masalah air, elektrik dan internet.

"Selain itu, fokus saya juga kepada pendidikan untuk anak-anak muda. Saya nak pastikan generasi muda di perkampungan mendapat pendidikan yang lebih baik," kata Rich.


Sebelum ini, Rich memuat naik poster di Instagram miliknya yang memberitahu dia sudah memulakan kempen untuk menjadi calon wakil rakyat di negeri Sabah.

Kumpulan Estranged turut dianggotai Solihuddin Hormat atau Din dan Nor Hanafi Noor Hadi. Dalam pada itu, Rich menegaskan dia tidak akan meninggalkan karier seni walaupun selepas ini akan sibuk dengan dunia politik.

"Biarpun saya sudah menceburi bidang politik tapi ia tidak bermaksud yang saya akan keluar daripada Estranged. Malah, ahli kumpulan saya yang lain juga akan turut membantu saya. Kiranya ini adalah perjalanan Estranged.


"Mesti akan ada pihak yang fikir dunia muzik dan politik berlainan tapi saya nak buat sesuatu yang unik dan berbeza dimana dua bidang ini boleh berjalan seiring.

"Saya dan rakan-rakan akan pergi ke kawasan perkampungan untuk berkenalan dengan penduduk di sana. Saya tak nak ada pihak kata orang undi saya sebab artis.

"Saya nak orang kenal bukan setakat sebagai artis saja tapi boleh buat kerja dan saya juga nak memahami keadaan mereka serta apa yang mereka perlukan," ujarnya.

Sementara itu, suami kepada bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat iaitu Velvet ini sudah bersedia dengan sebarang kritikan dan komen negatif.

"Saya dah bersedia dengan kritikan atau komen negatif. Dalam dunia seni pun, saya perlu berhadapan dengan komen negatif. Dah lebih 10 tahun saya dalam bidang seni, jadi dah tahu macam mana nak kawal tekanan dengan perkara itu.

"Apa yang penting, saya akan buat yang terbaik dan kena kuat sebab bila dah jadi wakil rakyat nanti, rakyat adalah keutamaan," tuturnya.







www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Rich Estranged

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: