14 September 2020

PELAKON WATAK PAK ANDAK '7 HARI MENCINTAIMU', IDRIS MOHD DIAH KEMBALI KE RAHMATULLAH



Selepas dikejutkan dengan kematian beberapa selebriti sejak beberapa hari lalu, seperti Datuk Zulkifli Zain dan Sandra Dianne, nampaknya dunia hiburan sekali lagi diselubungi berita sedih apabila pelakon veteran Idris Mohd Diah pula dilaporkan telah meninggal dunia.

Idris, 61, yang terkenal dengan watak Pak Andak menerusi drama bersiri '7 Hari Mencintaiku' dikatakan meninggal dunia ketika sedang tidur kira-kira pukul 2.30 pagi, Isnin di kediamannya di Presint 9, Putrajaya.

Menurut anak arwah iaitu Alia, ayahnya diketahui tidak sedar diri sekitar pukul 2 pagi dan ketika pasukan perubatan yang dihubungi tiba untuk memberikan rawatan, mereka mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia.

"Ayah disedari tidak sedarkan diri sekitar pukul 2 pagi tadi. Arwah sudah dua tiga hari tidak selera makan," ujarnya.

Jenazah akan dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan, sebelum solat Zuhur.

Allahyarham yang sangat sinonim dengan karakter bapa dan datuk itu merupakan antara pelakon veteran yang cukup disegani dalam industri.

Idris antara pelakon veteran yang masih aktif membintangi pelbagai drama tempatan. Antara drama yang pernah dilakonkannya ialah 'Wadi', 'Cinta Si Wedding Planner', 'Cucu Tauke Beras', 'Menantu Bilal', 'Andainya Takdir', 'Andainya Takdir 2', 'Zahir Tak Terucap' dan yang terbaru, '7 Hari Mencintaiku 2'.

Selain berlakon, Idris juga pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada tahun 1980-an.


www.myartis.com / Sumber: mStar & Astro Gempak

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: