19 October 2020

ANAK MENANGIS TONTON PERSEMBAHAN IBUNYA - ASHIRA SEDIH, CARI RUMAH LEPAS TAMAT GV7



Baru-baru ini tular di Twitter sebuah video yang memaparkan anak kepada penyanyi Ashira iaitu Megat Shazril Haziq Hadi mengalirkan air mata ketika melihat ibunya membuat persembahan pada konsert Gegar Vaganza minggu kedua pada Ahad.


Akui Ashira, 35, dia turut menangis apabila menonton video tersebut memandangkan sudah tiga minggu tidak bertemu dengan anaknya yang kini dijaga sementara oleh kakaknya.

Biarpun perasaan rindu terhadap anak tunggalnya itu semakin menebal namun Ashira terpaksa berkorban kerana masih perlu meneruskan perjuangannya di pentas GV7.

"Memang rindu sangat dekat anak saya tapi apakan daya saya masih lagi berjuang dalam GV7. Saya menangis bila melihatkan video itu dimuat naik oleh kakak, tidak terluah dengan kata-kata.

"Sekarang saya masih berjuang dalam rancangan ini dan Insya-Allah apabila tamat nanti saya akan mencari rumah untuk kami dapat duduk kembali bersama seperti dulu," kata Ashira.

Klik untuk gambar besar



Video berdurasi 21 saat tersebut dimuat naik oleh kakaknya, Shasha Aziz menerusi Twitter mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.

Sebelum ini, Ashira mengakui dia hilang punca pendapatan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu berikutan pandemik wabak Covid-19.

Malah disebabkan tidak mampu membayar sewa rumah bulanan RM1,200 selama enam bulan, Ashira dihalau keluar sehari selepas mendapat berita terpilih menyertai Gegar Vaganza musim ketujuh.

Pemilik nama Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz ini tinggal bersama anak lelakinya itu yang berusia 14 tahun selepas bercerai lima tahun lalu.


Sekitar September lalu, Ashira memberitahu dia kini menumpang di rumah kakaknya di sekitar Kuala Lumpur dan terpaksa berpisah dengan anaknya buat sementara waktu.

Pada malam konsert minggu kedua GV7 yang berlangsung pada Ahad, Ashira yang menyanyikan lagu 'Sempurna' (Andra & The Back Bone) berjaya melayakkan diri ke minggu ketiga.

Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal menerusi lagu 'Di Ombak Resah' ini menganggap lagu tersebut sebagai pembakar semangat untuknya meneruskan hidup dengan sempurna selepas ini.

Meskipun berstatus ibu tunggal, dia tetap mahu mencari kesempurnaan untuk keluarga kecilnya itu dan menganggap Shazril adalah segala-gala buatnya.

"Doakan supaya saya kuat menempuh dugaan ini. Dalam keadaan berjauhan dengan anak, saya hanya minta agar dikuatkan hati sahaja," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: