06 October 2020

BILA ATU ZERO & ISTERI KINI HULUR BANTUAN, EDAR PPE DI SABAH PULA



Semua mengetahui mengenai pelawak dan pelakon Atu Zero, 28, dan isterinya, Shafeeqa Johari, 34, yang sebelum ini mengambil inisiatif mengedarkan bantuan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan. Dek kerana sifat murni mereka, pasangan ini menerima sijil penghargaan.

Terkini, pasangan ini mengambil inisiatif yang sama dengan mengedarkan bantuan PPE bagi kegunaan petugas barisan hadapan di Semporna, Sabah, pula.

Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, berkata inisiatif yang dimulakan empat hari lalu itu dibuat selepas mendapat mesej peribadi dari penduduk daerah zon merah mengadu perlukan bantuan PPE.

"Dengan peningkatan kes serta lokasi sekitar Semporna kini semakin merisaukan, kami terpanggil untuk menyalurkan bantuan mengedar PPE percuma ke sana pula. Sebenarnya, bantuan ini kami sudah jalankan sebelum peningkatan kes jangkitan di Sabah lagi.

Klik untuk gambar besar


"Mulanya bantuan itu kami salurkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Kudat. Tiba-tiba, kes di sekitar Semporna pula naik. Kami menggunakan inisiatif mengumpul PPE daripada sukarelawan seluruh Malaysia bagi dihantar ke Sabah.

"PPE itu termasuklah sarung kepala, baju, sarung tangan, hampir keseluruhannya set lengkap yang petugas kesihatan hatus pakai. Mulanya, kami cuma salurkan bantuan di Semenanjung tapi selepas itu memutuskan untuk menghantar ke Sabah juga," jelasnya.

Atu berkata inisiatif memberi PPE percuma itu sebenarnya sudah dimulakan beberapa bulan lalu. Bagaimanapun, melihat kepada peningkatan kes di Sabah, mereka kemudian tumpukan saluran bantuan ke sana pula termasuk kampung halamannya di Kudat.


"Sebolehnya, bantuan ini akan disalurkan berterusan sehingga wabak ini dapat ditangani. Saya juga ada terbabit dengan badan bukan kerajaan (NGO) di kampung halaman di Kudat dan bantuannya merangkumi pelbagai aspek termasuk makanan, peralatan dapur, perkakas rumah.

"Selagi kami mampu akan buat bantuan ini. Isteri saya sendiri menjahit PPE itu sambil dibantu sukarelawan yang sudi hulurkan khidmat mereka bagi menolongnya," ujarnya.

Meskipun tiada ahli keluarga atau kenalan yang terkesan dengan jangkitan wabak itu, mereka terpanggil untuk sama-sama meringankan beban golongan tidak berkemampuan.


"Kami lakukan semua ini atas dasar kemanusiaan, meskipun tiada saudara mahu pun kenalan terdekat yang dijangkiti wabak itu. Tapi daripada segi ekonomi, di Kudat sendiri memang sangat merudum dan boleh katakan memberi kesan kepada orang kampung saya," tuturnya.

Menerusi entri di laman Instagram Shafeeqa, dia memuat naik video Atu sedang membantunya mengemas PPE tersebut. Dalam entri terbaharu juga Shafeeqa memberitahu mereka turut memerlukan lebih tenaga tukang jahit bagi sesiapa yang ingin volunteer.

"Sesiapa yang boleh sumbang dana atau ada PPE yang boleh anda bagi kepada kami untuk dihantar ke sana boleh PM saya. Jika ada fabrik, saya akan usahakan untuk menjahit PPE bersama volunteer lain. Minta tolong sama-sama kita selamatkan negara. Bersatulah kita. Terima kasih," katanya.

Terdahulu, Shafeeqa yang juga tukang jahit telah menjahit sendiri semua PPE dan menyalurkan kepada hospital-hospital yang memerlukan ketika frontliners sedang membantu merawat pesakit COVID-19 di Malaysia.







www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Astro Gempak, Instagram Atu Zero & Shafeeqa Johari

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: