06 October 2020

DIKUNJUNGI FINAS - M DAUD KILAU CADANG ELAUN UNTUK BINTANG LEGENDA



Seniman veteran, Datuk M Daud Kilau yang uzur di kediamannya di Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, Perak, ada sesuatu yang disuarakannya, ketika rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) diketuai Pengerusi, Zakaria Abdul Hamid mengunjunginya, Jumaat lalu.

Penyanyi 'Cek Mek Molek' itu menyarankan agar kerajaan memperkenalkan pencen berupa elaun penghargaan bulanan untuk warga seni yang berusia lebih 80 tahun. Amaun yang dicadangkan penyanyi yang mendapat jolokan Raja Gelek Malaysia itu kepada Zakaria adalah antara RM200 hingga RM300 sebulan.

Bagi M Daud, sumbangan itu bukanlah bertujuan menanggung sara hidup, sebaliknya lebih kepada tanda penghargaan kerajaan kepada penggiat seni berjasa.

Mengakui tersentuh dengan saranan yang dikemukakan M Daud atau nama sebenar, Muhammad Daud Kilau, 82, Zakaria berjanji mengemukakan idea itu kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMK) untuk diperhalusi.

"Saya sangat terkejut dengan saranan yang diluahkan M Daud. Nyata beliau sangat telus apabila sudi berkongsi permasalahan. Lebih membuatkan saya sebak adalah apabila mendengar jumlah amaun yang diminta hanyalah RM200 hingga RM300 yang disifatkan sudah memadai.

"M Daud berharap permintaannya dapat dipertimbangkan berikutan jumlah penggiat seni yang berusia lebih 80 tahun tidaklah begitu ramai. Saya melihat permintaan beliau dari sudut positif dan bukanlah sesuatu yang membebankan. Sepanjang hayat mereka, banyak sumbangan diberi mereka untuk menghiburkan kita semua," katanya.

Zakaria berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai menyiapkan kertas kerja bagi menjelaskan rasional cadangan itu sebelum diserahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk dipertimbangkan: "Bagaimanapun, kelulusan pemberian elaun penghargaan itu bergantung kepada keadaan kewangan negara," jelasnya.

Ditanya apakah jumlah itu mencukupi untuk dibelanjakan, Zakaria berkata, perkara itu hanya diputuskan selepas kelulusan diberi: "Apa sahaja yang membabitkan kewangan kerajaan, perlu mendapat persetujuan Kabinet.

"Selepas diluluskan, barulah kita akan kaji apakah amaun dicadangkan mencukupi atau perlu ditambah. Saya faham, ketika M Daud menyatakan jumlah itu, ia mungkin berdasarkan keadaannya yang sudah memiliki rumah atau ditanggung anak-anak.

Klik untuk gambar besar



"Setiap individu berbeza daripada segi tanggungannya. Namun, seperti yang dinyatakan tadi, saranan itu bukanlah bermakna mereka mengharapkan FINAS untuk menyara hidup, sebaliknya lebih kepada penghargaan atas jasa yang disumbangkan sepanjang hayat," ujarnya.

Zakaria menambah, dalam soal kebajikan, FINAS cuba berlaku adil tanpa membezakan apakah individu terbabit pelakon atau penyanyi: "Walaupun FINAS terikat dengan akta berkaitan perfileman, namun, daripada segi kebajikan, kita cuba bantu semua.

"Disebabkan itu, kami membuat kunjungan ke rumah M Daud dan menghulurkan bantuan setakat mana yang mampu. Tiada pilih kasih dalam soal menjaga kebajikan. Golongan penyanyi tidak seperti penggiat filem yang ada agensi seperti FINAS untuk membantu mereka.

"Kami sangat terbuka dengan sebarang cadangan dan sentiasa menyantuni saranan yang boleh membawa kebaikan serta kemakmuran kepada warga penggiat seni," tuturnya.

Apabila memperkatakan mengenai kebajikan artis veteran, tidak dinafikan dua persatuan yang turut menyalurkan bantuan kepada golongan terbabit adalah Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM).

YKAT yang dipimpin oleh Datuk DJ Dave memberi pencen kepada artis tidak berkemampuan sebanyak RM500 sebulan. Jika permohonan FINAS untuk menyalurkan bantuan kepada penggiat seni berusia lebih 80 tahun diluluskan, tidakkah ia bertindih dengan apa yang sudah dilakukan pertubuhan terbabit?

Mengulas perkara itu, Zakaria menjelaskan, ia bukanlah suatu masalah, asalkan tidak bertindih dengan bantuan diberi kerajaan: "Bentuk bantuan yang FINAS sedang usahakan ini berkait rapat dengan dana kerajaan. Jika seseorang penggiat seni pernah mendapat bantuan kerajaan, contohnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), secara automatik, dia tidak layak kerana JKM di bawah kerajaan.

"Bagaimanapun, jika bantuan itu diberikan mana-mana persatuan kebajikan yang bukan daripada dana kerajaan, mereka masih boleh memohon. Anggap sahaja itu adalah rezeki mereka apabila banyak pihak tampil membantu," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: