02 October 2020

DIPANGGIL SPRM ISU WANG HARAM: "KAMI DIPANGGIL HANYA BERI KERJASAMA..." - SITI SARAH



"Alhamdulillah syukur... kami dipanggil hanya untuk memberi kerjasama dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat malaysia," demikianlah kata penyanyi Siti Sarah berhubung isu dirinya dan suami, pelawak Shuib Sepahtu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram membabitkan perniagaan air yang dijalankan mereka.

Laporan memberitahu, pasangan itu hadir tengah hari semalam ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk diambil keterangan membabitkan kes tersebut. Menurut sumber, setakat ini siasatan masih dijalankan.

Sumber berkata, selain pasangan tersebut beberapa individu termasuk selebriti lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kes terbabit mungkin akan dipanggil.

Klik untuk gambar besar


"Masih tidak dapat pastikan sama ada mereka akan ditahan atau pun tidak memandangkan proses merakam keterangan masih berjalan," kata sumber tersebut sebelum ini.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan terdapat pasangan selebriti dipanggil pihaknya namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu, pihak pengurusan penyanyi, Siti Sarah Raissuddin iaitu Indigital Music Sdn Bhd tampil memberikan penjelasan mengenai apa yang berlaku .


Setakat ini, Nana Mohamad Rom selaku pengurus kepada penyanyi berkenaan menerusi satu kenyataan media memaklumkan pihak Sarah tidak boleh memberikan kenyataan berhubung perkara tersebut kerana tidak mahu mengganggu siasatan pihak SPRM bagi menghormati sistem perundangan negara.

"Untuk makluman, hanya keterangan Shuib sahaja yang diambil oleh pihak SPRM manakala Sarah hanya menemani suaminya sahaja. Namun apa yang kami dapat pastikan adalah kerjasama sepenuhnya telah diberikan kepada pihak SPRM untuk membantu siasatan.

"Setakat ini sahaja penjelasan yang dapat kami berikan berkenaan isu ini kerana pihak kami turut masih menunggu perkembangan selanjutnya dari pihak SPRM," jelas Nana.



www.myartis.com / Sumber & foto: Utusan Malaysia, Media Hiburan & Instagram Siti Sarah

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: