02 October 2020

FIKRY TIDAK KISAH BEKERJA BERSAMA MICHAEL ANG, TETAPI BERSYARAT: "BENDA DAH LEPAS, BUANG MASA JE"



Pelakon dan pengacara Fikry Ibrahim dan pengarah Michael Ang sebelum ini pernah dilanda kontroversi antara mereka berdua. Fikry mengakui bahawa dirinya amat berbesar hati apabila berpeluang berkongsi pentas dengan Michael menerusi Pentas Akhir Ratu Hijabista 2020 yang telah melabuhkan tirai minggu lalu.

Menurut Fikry, dia hanya menjalankan tugas sebagai hos program berkenaan dan bertanggungjawab untuk menyambut kehadiran pengarah tersohor itu yang hadir sebagai juri jemputan pada episod akhir program realiti berkenaan.

Tidak mahu berfikir secara berlebihan, Fikry menganggap antara mereka berdua tidak wujud sebarang masalah dan dia juga tidak terasa meskipun kontroversi itu bermula dengan sikapnya yang menegur seseorang yang disyaki dituju kepada Michael Ang.

"Saya tiada masalah apa pun. Bila dia datang saya menyambutnya dengan baik kerana dia tetamu kita. Dia pun sudi untuk datang dan saya ucapkan berbanyak terima kasih. Kalau perkara yang selebih daripada itu saya tidak tahu.

"Saya tak tahu apa yang dia fikirkan tapi saya rasa okay sahaja tiada masalah. Saya tak terasa pun. Perkara ini bermula bila saya tegur seseorang itu dengan baik supaya perkara ini dapat menyedarkan dia dan orang lain.

Klik untuk gambar besar


"Tapi Alhamdulillah mungkin ada perselisihan diantara kami di peringkat awal tapi sekarang semuanya dah reda. Ini mungkin pengajaran untuk kedua-dua belah pihak," tuturnya.

Dalam pada itu, Fikry sempat memohon maaf jika dia ada menyakitkan hati sesiapa di luar sana yang mungkin 'terasa' dengan kenyataannya sebelum ini.

Meskipun tidak pernah menyebut nama individu yang dimaksudkannya itu, Fikry berkata dia sama sekali tidak mempunyai niat untuk mengaibkan sesiapa.

Mengakui industri seni tanah air ini tidaklah begitu besar, Fikry menjelaskan dia tidak mahu agar isu ini dibiarkan berpanjangan


"Saya tidak pernah menyebut pun nama sesiapa tapi kalau ada yang terasa tu, saya tiada niat pun untuk mengaibkan sesiapa. Tapi kalau ada orang yang cuba mengaibkan saya dan statement seseorang itu disebabkan oleh kekurangan daripada saya, saya minta maaf.

"Kalau salah saya, saya minta maaf tiada masalah pun di sini. Saya minta maaf secara terbuka kalau saya salah. Tapi kalau dia pun segan nak minta maaf tak mengapa saya maafkan dia. Benda ni pun dah lepas. Buang masa je. Industri kita pun kecil je," ujarnya.

Ketika ditanyakan adakah dia sudi untuk berkolaborasi dengan Michael Ang jika diberi peluang, Fikry berbesar hati namun terdapat syarat yang diberikannya.

"Sejujurnya kalau diberi peluang, saya tak kisah untuk bekerjasama. Syaratnya, yang penting kena ikut S.O.P yang betul, sistematik dan telus," kata Fikry.





www.myartis.com / Sumber & foto: Media Hiburan, Instagram Fikry Ibrahim & Michael Ang

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: