20 October 2020

INJAP JANTUNG TERSUMBAT - DEMI KEBAIKAN HATTAN, ISTERI TEGAS JAGA PEMAKANAN, PERLU BERSENAM



"Alhamdulillah, suami sudah boleh pulang ke rumah selepas tiga hari mendapat rawatan. Keadaannya juga semakin baik. Mengikut laporan pemeriksaan, suami berdepan dengan injap jantung yang tersumbat.

"Saya lega kerana dia diberi rawatan awal. Jika tidak mungkin sesuatu lebih buruk boleh berlaku. Dengan izin-Nya, Insya-Allah boleh sembuh dengan makan ubat yang disyorkan dan tak perlu membuat ujian angiogram. Tahap kolestrol tinggi, jadi kena dipantau dan dijaga.

"Bagus juga timbul kesedaran nak terus buat pemeriksaan lanjut apabila rasa tak kena pada peringkat awal," demikianlah kata isteri kepada penyanyi Datuk Hattan iaitu Datin Arianie Mohd Abidin yang memaklumkan keadaan suaminya kini berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan berikutan injap jantung tersumbat.

Hattan, 56, didapati mengalami masalah injap jantung tersumbat tetapi tidak melebihi 50 peratus itu selepas dibawa menjalani pemeriksaan beberapa hari kemudian di Institut Jantung Negara (IJN).

Memuat naik status menerusi laman Facebook, Hattan memaklumkan dirinya berada dalam terkawal selepas tiga hari menerima rawatan. Hattan turut mengucapkan terima kasih terhadap rakan-rakan dan peminat atas segala doa sepanjang dia menjalani rawatan.

Klik untuk gambar besar



Isterinya mengesahkan, keadaan kesihatan suaminya stabil dan tidak membimbangkan. Arianie berkata, suaminya mengadu sakit dada, sejak beberapa hari lalu. Arianie berkata, pada mulanya disangka berpunca dari masalah otot.

"Ketika sesi latihan untuk satu persembahan baru-baru ini, saya nampak dia memegang bahagian dada kiri sambil mengusapnya seakan ada yang tak kena. Hairan juga dia berkelakuan begitu.

"Selepas beberapa hari, keesokan paginya dia mengadu tak dapat tidur kerana dada sakit dan tangan kebas-kebas. Sudah tentu saya bimbang kerana kakaknya baru melakukan prosedur angiogram dua minggu lalu. Adik lelakinya pun ada masalah jantung, manakala arwah bapanya pun meninggal kerana masalah jantung juga.

"Tanpa membuang masa, saya terus membawanya mendapatkan rawatan. Secara kebetulan, dalam sejarah keluarganya ada yang sakit jantung. Jadi, tak mustahil penyakit yang sama boleh kena padanya.


"Ketika membuat pemeriksaan di IJN, doktor kata lain-lain semuanya okay selain masalah kolesterol. Hattan juga ditahan di wad untuk pemeriksaan kerana keluarganya ada sejarah masalah jantung," jelasnya.

Arianie berkata, Hattan perlu mengambil ubat kolesterol selain perlu bersenam dan menjaga pemakanan. Katanya, dia kini juga umpama jururawat tidak bertauliah memantau pemakanan dan kesihatan suami. Tambah Arianie lagi, Hattan kini perlu berpantang dan tidak boleh mengambil makanan berminyak dan berkolestrol tinggi.

"Makanan berminyak yang berkolestrol tinggi tak boleh dimakan dalam kuantiti yang banyak. Saya kena pastikan suami makan pada tepat waktu. Bersenam juga kena titik beratkan. Saya kena bertegas dalam hal ini demi kebaikannya," tuturnya.

"Selepas tiga bulan kena jumpa doktor semula untuk pemeriksaan. Jika sekiranya keadaannya stabil tak payah makan ubat lagi. Syukurlah buat masa ini aktiviti seninya tiada.

"Hattan boleh main golf tapi dia kena berjalan kaki. Dia pun sudah berhenti merokok tapi doktor cakap jangan mendadak," katanya yang menyeru sesiapa yang mempunyai gejala ini supaya segera berjumpa doktor.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: