02 October 2020

NABILA AKUI EMOJI LOVE TAK BERMAKSUD APA-APA - IBU ENGGAN ULAS ISU JODOH NEELOFA



Kakak kepada Noor Neelofa, Noor Nabila sebelum ini ada memuat naik video di laman Instagram Story memaparkan PU Riz sedang bersembang dengan bekas hos MeleTop disertai emoji hati.

Dek kerana emoji hati pada entri tersebut ia telah mencetus pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen. Rakaman video itu ketika Nabila dan keluarga meraikan majlis perkahwinan Aqief, baru-baru ini.

Mengakui perkongsiannya itu tidak disengajakan, Nabila, 36, berkata, dia berasa serba salah apabila pengacara popular itu terpaksa berdepan pelbagai persoalan daripada peminat.

"Emoji cinta yang saya kongsikan di Instastory hanyalah sekadar berkongsi rasa teruja pada majlis perkahwinan adik saya. Tak sangka viral dan saya rasa serba salah pula... nak padam pun benda dah tular.

"Sejujurnya emoji itu tidak bermaksud apa-apa pun, tapi orang luar sudah menyalah tafsir perkara itu. Pada majlis pernikahan itu, PU Riz hanya diundang untuk membaca doa. Semua tetamu mengenakan baju berwarna biru... keluarga, kawan, semua kecuali dulang boys!," katanya.

Sementara itu, bekas isteri kepada pelakon Sharnaaz Ahmad ini berkata dia menerima sesiapa sahaja lelaki yang bakal menjadi pilihan adiknya.

Klik untuk gambar besar


Dia turut mengakui selesa sepanjang mengenali PU Riz dan mengagumi ilmu agama yang dimiliki aktor filem 'Ada Apa Dengan Dosa' itu.

"Tak kisahlah sama ada PU Riz atau sesiapa sahaja. Apa yang penting, saya nak lihat Neelofa gembira dulu. Selain bahagia yang diperlukan, lelaki itu perlu bersama susah senang dengannya. Ilmu agama itu penting, dapat mendidik.

"Kami memang seronok belajar agama dengannya. Dia seorang ustaz (panggilan kepada PU Riz) yang kami boleh bergurau dan bertanya apa saja soalan.

"Kami senang dengan PU Riz dan secara tidak langsung saya yang kurang ilmu ini dapat belajar sesuatu daripadanya. Keluarga kami mula rapat dengan PU Riz sejak dia menjadi imam terawih Ramadan lalu," ujarnya.

Pada 20 September lalu, kehadiran pendakwah selebriti PU Riz di majlis pernikahan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief menarik perhatian netizen.


Menerusi perkongsian foto dan video yang dimuat naik adik-beradik pengacara ini, Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 25, kelihatan memakai baju berwarna biru muda sedondon dengan pihak keluarga pengantin lelaki.

Malah, Noor Nabila turut berkongsi video di Instastory miliknya meletakkan emoji berbentuk hati ketika pasangan ini sedang berbual.

Sementara itu, ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai isu yang sedang dikaitkan dengan anaknya.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Kalau boleh, saya tak mahu cakap atau sentuh perihal jodoh anak saya," kata wanita berumur 54 tahun itu.

Terdahulu, desas-desus mengenai hubungan rapat Neelofa dan PU Riz diperkatakan netizen apabila kedua-duanya sering dilihat bersama sejak Ramadan lalu. Namun, perkara itu dinafikan kedua-duanya dan menyifatkan mereka berjumpa atas dasar kerja.


www.myartis.com / Sumber: mStar & Astro Gempak

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: