05 October 2020

"SALAH SAYA BERI KENYATAAN KURANG JELAS... BUKAN SAYA KELUARKAN" - AZZAM SHAM MOHON MAAF



Juara program realiti Big Stage 2020 (BS2020), Azzam Sham tampil memohon maaf susulan mengenai penyanyi Farisha Iris tergores hati dengan kenyataannya semasa temubual secara langsung dalam program MeleTOP pada Selasa lalu.

Azzam atau nama sebenarnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham, 23, mengakui kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja itu telah menyebabkan rakan sepejuangannya terasa hati.

Enggan memperbesarkan isu tersebut, Azzam terus menghubungi Farisha secara peribadi untuk menjelaskan apa yang berlaku sebaik sahaja diberitahu mengenai status luahan kekecewaan penyanyi itu di Twitter.

"Secara jujurnya saya seorang yang tak mudah melatah. Bila saya dapat tahu mengenai perkara itu, saya siasat dahulu macam mana boleh jadi macam ini. Yela... saya sebagai abang kepada dia, saya minta maaf secara peribadi.

Klik untuk gambar besar


"Saya tidak mahu memperbesarkan isu ini sebab itu saya tidak keluarkan kenyataan apa-apa sebelum ini. Saya rasa isu ini kecil dan boleh diselesaikan secara peribadi.

"Apabila saya dapat tahu tentang status yang dimuat naik Farisha, saya terus WhatsApp dan dia pun mengaku juga ada salah faham. Kami pun sudah selesaikan apa yang berlaku," kata Azzam.

Menerusi status yang dimuat naik, Farisha mengakui dia kecewa apabila jawapan yang diberikan oleh Azzam dan empat peserta lain seolah-olah meraikan penyingkirannya dalam program realiti itu.


Menerusi temubual dalam program MeleTOP, pengacara Nabil Ahmad dan Wawa Zainal bertanyakan kepada lima penyanyi yang layak ke pentas akhir mengenai perasaan mereka tanpa saingan peserta wanita.

Menjawab pertanyaan tersebut, Azzam memberitahu dia menerima banyak komen daripada peminat yang hairan melihat mereka lebih bersedih apabila nama Qody diumumkan antara yang akan tersingkir.

Dalam pada itu, Azzam yang juga merupakan bekas peserta Idola Kecil 2009 terbitan TV9 itu memberitahu kenyataan yang dikeluarkannya itu hanya membaca apa yang dikatakan netizen.


"Saya dan dia dah berkawan sejak kami kecil lagi. Bagi saya, dia terasa hati itu dah biasa sebenarnya. Cuma dia terkeluarkan kenyataan begitu tanpa bertanya terus kepada saya.

"Saya rasa, memang salah saya sebab beri kenyataan yang kurang jelas tapi kalau tonton video itu dari awal... netizen yang bercakap dekat kami semua bukan saya yang keluarkan kenyataan itu.

"Tapi mungkin ada berlaku salah dan saya akui kesilapan saya. Saya kurang mahir dalam berkomunikasi dan apa yang berlaku sudah tentu menjadi pengajaran untuk saya sebab tak pernah lagi kena macam ini.

"Bila ada media keluarkan cerita mengenai Farisha, saya rasa benda ini dah jadi besar tapi saya terima dengan hati terbuka. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Instagram Azzam Sham, Farisha Iris & Razzi Musa

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: