08 October 2020

SEMAKIN SIHAT - EBBY YUS PEROLEH REZEKI DARIPADA REVIU, PILIH BERLAKON DI STUDIO



"Alhamdulillah, saya sudah lalui sakit selama dua tahun dan sekarang, dengan izin Allah saya sudah kembali sihat. Saya juga dah dapat kembali bekerja seperti biasa," kata pelakon dan pelawak, Ebby Yus.

Ujian dan dugaan Allah datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang diduga dengan kesakitan untuk lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Bagi Ebby Yus, dia juga diduga dengan kesakitan yang dilaluinya selama dua tahun.

Semakin sihat dan kembali pulih, Ebby meluahkan rasa bersyukur kerana kesakitan yang dialaminya adalah sebagai permulaan untuk nikmat rezekinya yang dikecapi kini. Ebby berkata, banyak bentuk rezeki yang tidak diduga hadir buat dirinya.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sama seperti orang lain, saya juga terkesan kerana tak boleh nak bekerja. Namun, ada rezeki yang Allah siapkan untuk saya iaitu dengan melakukan ulasan produk.

"Alhamdulillah, dengan wang daripada ulasan produk itulah saya gunakan untuk menampung kehidupan sepanjang PKP," tuturnya.

Bercerita mengenai ulasan produk, dia juga menegaskan bahawa dia hanya akan membuat ulasan untuk produk yang berkesan digunakan.

"Kebanyakan tawaran yang saya terima adalah untuk mengulas produk kesihatan untuk kegunaan luaran. Kalau produk kesihatan yang perlu dimakan, saya tak berani kerana takut berisiko kepada saya.

Klik untuk gambar besar



"Lagipun, saya pun ada enam jenis penyakit kronik. Kalau setakat produk luaran seperti minyak atau krim, saya okay. Namun, saya akan guna dulu dan kalau berkesan baru saya akan promosikan," ujarnya.

Selain produk kesihatan, Ebby juga turut menerima produk makanan: "Produk makanan adalah antara yang senang untuk dibuat ulasan memandangkan kita boleh tahu sama ada sedap atau tidak dengan pantas," katanya.

Ditanya mengenai karier lakonan, Ebby kini kembali berlakon dan lebih memilih untuk menerima tawaran lakonan yang berlangsung dalam studio.

"Memandangkan kesihatan saya pun tidak seperti dulu, banyak kekangan yang berlaku. Jadi, saya banyak terima tawaran yang penggambarannya dijalankan dalam studio.

"Selain itu, saya juga fikirkan mengenai risiko kesihatan memandangkan saya adalah pesakit kronik dan sekarang dunia dilanda pandemik Covid-19," katanya.

Selain itu, Ebby juga kini menjadi antara rakan kongsi untuk tiga restoran serta menjadi penyelaras untuk jenama beras yang baharu dilancarkan itu.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: