26 October 2020

SETAHUN FARAH AHMAD KEHILANGAN SUAMI, ARWAH PITT: "RASA 'HAPPY' NAK JUMPA DIA HARI NI"



Pemergian Allahyarham Mohd Firdaus Mohamad Hanif atau lebih dikenali sebagai Pitt, genap setahun hari ini. Arwah Pitt merupakan suami kepada pelakon Farah Ahmad, dan anak kepada primadona Fauziah Nawi.

Bukan mudah untuk seorang isteri menghadapi kehilangan suami yang tercinta, apatah lagi mempunyai tiga orang cahaya mata bersama. Bukan sekadar seorang suami, tetapi dialah juga seorang sahabat karib dan tempat mengadu.

"Farah memang menanti tiga hari ni, hari ni, esok dan lusa. Farah dan Mama (Fauziah Nawi) saban hari mengira. Rindu yang ada memang tak pernah hilang. Malam tadi Farah baca balik semua komen-komen yang orang tinggalkan setahun yang lalu.

"Sampai masuk waktu Subuh Farah baca semuanya. Masa tu baru Farah sedar doa-doa mereka inilah yang memudahkan arwah Pitt dijumpai. Terlalu ramai yang berdoa, dari merata-rata tempat," kata Farah.

Klik untuk gambar besar



Menurut Farah, sebelum ini dia tidak berkesempatan langsung untuk membaca komen-komen yang ditinggalkan, bukan sahaja daripada mereka yang berada di Malaysia, tetapi teman-teman dan kenalan daripada merata tempat termasuklah Indonesia, England, Australia dan lain-lain.

"Sebenarnya dah lama Farah tak mimpikan Pitt. Mungkin Allah tak datangkan dia dalam mimpi untuk bagi Farah berehat. Sebab tu Farah baca balik apa yang orang tulis.

"Farah memang penat. Mungkin Tuhan nak Farah rehat. Sebelum ni Farah alami Imsonia, tetapi sejak kebelakangan ni Farah sibuk cari rezeki buatkan Farah sangat penat. Balik rumah saja, terus tidur lena," kata Farah lagi yang mengusahakan Jom Bubur.



Tambah Farah, hingga ke hari ini masih ada lagi orang yang bertemunya bertanyakan perasaan dirinya menghadapi semua yang dilalui: "Dan seperti biasa jawapan Farah tetap sama. Dia dah tak ada. Farah perlu kuat untuk anak-anak.

"Tapi biarpun dia tak ada di depan mata, dia ada dalam setiap anak-anak. Ada perangainya, cara tidur dia. Masing-masing mewarisi sifat ayah mereka. Farah tak rasa sunyi sangat sebab Pitt ada pada anak-anak," cerita Farah. 

Namun begitu, Farah tidak menafikan ada masanya perasaan rindu dan sedih melanda terlalu kuat dengan kehilangan tempat mengadunya itu: "Ada masa balik daripada urusan kerja, Farah tak masuk rumah dulu. Farah akan duduk di luar. Farah memang jenis yang tak tunjuk pada orang bila Farah menangis.



"Tetapi bila menangis tu, Farah menangis sendiri sepuas-puas hati dan Farah akan mengadu pada dia seolah-olah dia masih ada di sisi Farah. Semuanya seperti mana ketika dia masih ada. Kami saling menyokong, menjadi tempat mengadu, menjadi tempat meluah perasaan.

Ditanya bagaimana dia mengubat kerinduan anak-anak pada ayah mereka, Farah ada cara tersendiri: "Bila kami rasa sangat rindu, kami akan buka almari baju dia. 

"Masih ada bau-bau dia yang dapat mengubat kerinduan anak-anak, lihat jam tangan yang kali terakhir dipakai oleh arwah dan segala barang-barangnya yang ada dalam almari tersebut.



"Dan sebenarnya kalau tidak ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), memang Farah rancang bawa anak-anak ke Pahang. Tempat kali terakhir arwah," kata Farah.

Farah ketika ini sedang dalam perjalanan membeli bunga untuk dibawa ke makam suaminya: "Lepas beli bunga, Farah akan ambil anak-anak di rumah. Mereka sedang bersiap-siap dan 'gembira' untuk pergi melawat ayah mereka," kata Farah.

Allahyarham Mohd Firdaus Mohamad Hanif meninggal dunia apabila lemas ketika memancing di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang pada 26 Oktober 2019. Allahyarham merupakan seorang pengarah drama dan filem.








www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Farah Ahmad

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: