16 October 2020

SYAHMI SAZLI SEDIA TERIMA JIKA 'MAEL TOTEY THE MOVIE' DIKECAM: "PELAKON SAYA GOLONGAN OKU..."



Ditanya mengenai kemungkinan filem 'Mael Totey The Movie' bakal menerima kecaman hebat, YouTuber popular dan pelakon Syahmi Sazli berkata, secara jujurnya dia sudah bersedia untuk menerima kecaman terhadap filem sulungnya yang akan ditayangkan menerusi Astro First bermula 22 Oktober ini.

"Nak kritik tiada masalah, tapi yang jadi masalahnya mereka selalu kritik dengan bahasa yang kesat. Sebelum buat skrip pun saya dah tahu orang akan kritik filem ini kerana ceritanya dibuat tanpa ikut standard piawaian sebenar sesebuah filem. Pelakon saya golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan waktu berlakon ada yang tak tengok kamera, tak ikut skrip dan tak ingat nama watak.

"Sudah pasti ia mengundang kritikan dalam kalangan golongan profesional. Maknanya sebelum penggambaran saya dah sedia dikritik kerana menyajikan benda yang orang tak pernah tengok," kata Syahmi, 25, atau namanya Muhd Syahmi Sazli yang juga pengarah filem itu.

Syahmi yang menghasilkan drama pendek membabitkan golongan ini sehingga menjadi fenomena di YouTube berharap mendapat kritikan yang membina untuk kebaikan kariernya yang baru bermula.

Klik untuk gambar besar



"Tiada masalah kritikan untuk saya baiki kualiti filem dan itu saya terima. Sekurang-kurangnya saya tahu apa kelemahan yang boleh saya baiki. Tapi yang ini (pengkritik filem Youtuber) jenis suka keluarkan kata-kata kesat dan itu yang bahayanya. Saya tak boleh buat apa-apa dan akan ambil pendekatan pekakkan telinga sahaja," ujarnya.

'Mael Totey The Movie' memulakan penggambaran pada 12 Julai lalu dan menelan kos sekitar RM400,000. Selain Syahmi, barisan pelakon utama lain ialah Asif Suhaimi, Yoe Parey, Emaleen Minhad, Wanie Rohaimie, Yatin dan Bedul. Pelakon pembantu lain pula terdiri daripada Catriona Ross, Husyairi Hussin, Daler Yusof dan Kamarool Yusoff.

Ditanya sasaran kutipan pula, Syahmi berkata, dia tidak memikirkan soal itu: "Itu soal kedua kerana sememangnya sasaran saya pada tahun ini ialah maju ke hadapan. Impian saya nak beralih arah dari YouTube dan masuk TV atau pawagam Itu tujuan utama saya.

"Apabila filem ini dapat masuk Astro First, itu satu kejayaan yang sangat besar buat saya sebagai orang yang bukan bermula dalam bidang ini. Sekiranya ada rezeki untuk filem seterusnya, barulah saya sasarkan berapa kutipannya pula. Untuk kali ini, dapat masuk Astro First pun dikira kejayaan besar," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: