14 November 2020

ADAM SHAHZ TEMUI CINTA BARU, AKHIRI ZAMAN DUDA TAHUN DEPAN



Meskipun mahligai rumah tangga yang dibina atas nama cinta bersama pelakon Fatin Afeefa pernah runtuh dan berdepan konflik, empat tahun lalu, namun pintu hati pelakon Adam Shahz tidak pernah tertutup buat mana-mana wanita.

Bintang filem 'Juvana', Adam Shahz, 39, tidak membiarkan dirinya terus larut dengan kekecewaan, sebaliknya sentiasa membuka pintu hati untuk mencari teman sehidup semati.

Tanpa berselindung, Adam mengakui, sedang meniti fasa bahagia bersama seorang wanita berusia 36 tahun itu. Adam mendedahkan, dia pernah cuba berkawan dengan beberapa wanita, tetapi tidak menemui titik keserasian.

Namun, entah kenapa merasakan wujud keserasian apabila mengenali wanita istimewa ini. Malah, Adam 'berani' berkongsi video mesra bersama kekasihnya dalam Instagram (IG), baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar



Adam atau nama sebenarnya, Nor Shah Azli Abdol Ghani berkata, kekasihnya bukanlah golongan artis. Bukan trauma menjalinkan hubungan dengan selebriti, sebaliknya takdirnya bertemu wanita biasa.

"Saya tak pernah meletakkan sebarang syarat memilih siapa pasangan hidup. Apa yang menjadi keutamaan adalah keserasian dan kekasih tahu menghargai dirinya. Saya dan kekasih saling mengenali sejak setahun lalu kerana kami berkawan dengan kelompok rakan yang sama.

Hubungan mula akrab selepas saling meninggalkan komen dalam laman sosial. Selepas hampir setahun berhubung dalam laman sosial, barulah saya ada keberanian untuk mengenali hati budi," katanya.



Aktor yang pernah diangkat Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-28 menerusi filem Juvana 2 itu berkata, dia dan kekasihnya mula rapat pada September lalu.

"Kami akrab sejak dua bulan lalu, tetapi tidak dapat bertemu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kami baru sahaja saling mengenali, tetapi saya merasakan sudah ada keserasian antara kami.

"Kekasih tahu status saya sebagai bapa tunggal dan tidak mempunyai masalah menerima saya. Bagaimanapun, saya belum berkesempatan memperkenalkan kekasih dengan anak, Ivy Herra Sophia disebabkan pandemik COVID-19. Saya kerap juga membuat panggilan video dan kekasih sudah beberapa kali dengan Ivy," jelasnya.



Adam berkata, dia sudah berbincang dengan kekasihnya mengenai fasa seterusnya dalam perhubungan mereka. Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, mereka ingin menumpukan perhatian untuk mencari rezeki terlebih dahulu, sebelum memikirkan fasa lebih serius.

"Kami pernah berbincang ke arah fasa seterusnya. Kami memang serius menjalinkan hubungan dan saya menepati ciri calon suami yang dicari. Cuma, kami tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan.

"Insya-Allah, kami merancang disatukan pada tahun depan, jika ada jodoh. Setakat ini, tiada perancangan berkahwin tahun ini kerana rasa terlalu cepat. Saya mahu mengumpul duit terlebih dahulu. Bila sudah cukup, biar duit yang kerja untuk kami," tuturnya sambil ketawa.

Adam berkata, dia tidak kisah siapa pun wanita yang sesuai dijadikan calon isteri, asalkan mereka serasi: "Tidak semestinya mereka yang datang daripada bidang seni boleh memahami kerja saya, jadi saya enggan menunggu apabila menemui wanita yang ada keserasian," katanya.















www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Adam Shahz

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: