20 November 2020

AKUI SILAP - HANS ISAAC TAMPIL MOHON MAAF DENGAN EIZLAN YUSOF



Berhubung mengaitkan Datuk Seri Eizlan Yusof dengan penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn. Bhd, bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac tampil memohon maaf secara terbuka.

Kelmarin, Eizlan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Finas mengambil tindakan undang-undang ke atas Hans berhubung dakwaan tidak berasas pada 16 November lalu. Menerusi peguam cara, Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co, Eizlan kesal atas kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan menjatuhkan nama serta reputasinya.

Menurut Hans, sebaik sahaja dia menyedari kesilapan dalam mesej yang dihantar, dia ingin membuat pembetulan dengan segera namun dimaklumkan pihak Eizlan telah menghantar surat peguam.

"Untuk makluman, pada 16 November 2020, saya telah menghantar satu mesej di dalam Kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia di mana saya telah merakamkan ucapan tahniah kepada tiga buah syarikat yang telah dipilih untuk menerima Dana Kandungan Digital 2020 daripada FINAS, termasuk Excellent Pictures Sdn Bhd.

Klik untuk gambar besar



"Di dalam mesej tersebut, saya telah membuat kesilapan dengan mengaitkan Dato’ Seri Eizlan Yusof dan Excellent Pictures Sdn Bhd. Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf di atas kekhilafan saya.

"Saya telah menghubungi Dato' Seri Eizlan Yusof melalui peguamcara saya untuk mengeluarkan kenyataan pembetulan berhubung dengan kesilapan ini," jelasnya.

Tambah Hans lagi, dia tidak mahu perkara ini berpanjangan dan sekali lagi memohon maaf di atas kesilapan yang tidak disengajakan ini.


"Saya amat berharap agar kita dapat buang yang keruh, dan ambil yang jernih. Semoga kita dapat terus memajukan industri perfileman negara bersama," ujarnya lagi.

Eizlan sebelum ini meluahkan rasa kecewa apabila Hans mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan mencalarkan reputasinya.

Menurut Eizlan, Imej, reputasinya selaku Ahli Perbadanan FINAS serta kredibiliti sebagai penggiat industri perfileman negara selama 20 tahun terkesan berikutan tuduhan terbabit.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Astro Gempak & Instagram Hans Isaac & Eizlan Yusof

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: