18 November 2020

EIZLAN YUSOF AMBIL TINDAKAN GUAMAN TERHADAP HANS ISAAC



Pelakon yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Seri Eizlan Yusof baru-baru ini telah meluahkan rasa kesal dengan tuduhan yang dilemparkan Datuk Hans Isaac, berhubung isu penyalahgunaan kuasa membabitkan sebuah syarikat produksi iaitu Excellent Pictures Sdn Bhd.

Eizlan, 49, berkata, tuduhan tidak berasas itu mencemarkan nama, imej dan reputasinya sedangkan dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat terbabit sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang saham.

"Selaku ahli Finas yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip integriti, saya menzahirkan kekecewaan atas tuduhan melulu dan tidak berasas yang dilontarkan oleh Hans yang telah mencemarkan nama, imej dan reputasi saya kononnya ada penglibatan saya dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn. Bhd.

Klik untuk gambar besar



"Untuk makluman, syarikat tersebut tiada sebarang kaitan dengan saya sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang sahamnya. Syarikat tersebut dikatakan ada menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada pihak Finas," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Finas pada Rabu.

Sementara itu, Eizlan berkata tuduhan tersebut dibuat oleh Hans yang juga merupakan bekas pengerusi Finas menerusi kumpulan WhatsApp milik Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) pada Isnin lalu.

"Tuduhan yang dibuat pada 16 November 2020 oleh Datuk Hans Isaac melalui kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) mempunyai ahli melebihi 200 orang dalam kumpulan tersebut.



"Dakwaan palsu Hans Isaac ini secara langsung telah menular dan masih berlarutan sehingga mencalarkan nama baik dan reputasi saya, mengganggu fokus dan menerima tekanan daripada pelbagai pihak. Ini juga memberi kesan secara langsung kepada karier dan perniagaan saya," ujarnya.

Susulan dakwaan itu, Eizlan telah melantik peguam dari firma Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co untuk memulakan proses perundangan.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana imej dan reputasi saya telah terkesan akibat dusta tersebut, khasnya saya selaku Ahli Perbadanan FINAS dan kredibiliti saya selaku penggiat industri kreatif yang telah berkecimpung selama lebih daripada 20 tahun serta dikenali masyarakat dan industri perfileman negara. Untuk makluman, saya telah melantik peguam dan tindakan guaman terhadap Hans Isaac sedang berjalan," katanya.


www.myartis.com / Sumber: mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: