19 November 2020

NAMA DISEBUT-SEBUT - HANS ISAAC BAKAL BERTANDING PRU15?



Nama pelakon dan penerbit Datuk Hans Isaac baru-baru ini disebut-sebut akan bertanding sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Ampang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Nampaknya mungkin selepas ini Hans bakal terjun ke dunia politik.

Namun, Hans berkata ia terpulang kepada parti dan juga masyarakat setempat sama ada mahu memilihnya sebagai calon atau pun sebaliknya. Jelasnya, objektifnya pada ketika ini adalah untuk membantu masyarakat di Ampang.

"Objektif saya adalah untuk terus memberikan fokus bagi membantu masyarakat di Ampang. Berhubung sebarang pencalonan untuk PRU15 di Ampang, ia terpulang kepada Presiden, parti dan masyarakat Ampang," katanya.

Klik untuk gambar besar



Hans berkata pasukannya dikenali "Kita Budak Ampang" memberi fokus kepada program sosial bagi membantu masyarakat di kawasan itu. Katanya lagi, politik di negara ini memerlukan calon muka baru apabila dilihat didominasi ramai ahli politik yang lebih berusia.

"Pasukan saya dikenali 'Kita Budak Ampang' akan memberikan fokus kepada program sosial bagi membantu masyarakat dan menghargai segala sokongan serta bantuan yang dihulurkan.

"Menjalankan program ini sendiri kadang-kadang memberi sedikit tekanan, tetapi memberi satu kepuasan yang besar apabila kita melihat impak sokongan kecil kita terhadap keluarga atau individu. Namun ada ketikanya, ia menjadi sukar kerana kita tidak dapat membantu semua orang pada satu masa, tapi kami cuba sebaiknya.


"Kita mempunyai individu lama yang sama dalam arena politik dan itulah sebab rakyat Malaysia tidak berminat dengan politik. Kita memerlukan perubahan untuk masa depan yang lebih cerah tetapi ia merupakan tanggungjawab kita untuk memilih dan membuat perubahan tersebut.

"Saya faham rakyat kecewa, tetapi kita tidak boleh berputus asa dan ia sememangnya hak kita untuk memilih jalan yang betul," tutur Hans yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Untuk rekod, PKR kini tidak mempunyai wakil rakyat di kerusi Parlimen Ampang selepas pemecatan bekas Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin daripada parti tersebut.


www.myartis.com / Sumber: Rotikaya, Astro Awani & Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: