22 November 2020

SEDIA BANTU YANG TERJEJAS - AZWAN TAK LAYAN INDIVIDU MINTA DIKIRIMKAN WANG



"Jujur diakui, saya ingin membantu kerana sangat bersimpati dan prihatin dengan nasib kebanyakan orang yang terjejas pendapatan disebabkan Covid-19 ini. Namun, lokasi tempat tinggal mereka seperti di Sabah itu terlalu jauh.

"Saya pula kalau nak beri bantuan pada orang suka menyerahkan sendiri kepada pihak memerlukan itu dan tidak akan melayan individu-individu yang meminta dikirimkan wang ke akaun mereka.

"Sekarang ini terlalu banyak 'scammer'. Jadi, saya sangat berhati-hati dan memastikan sedia membantu mereka yang betul-betul perlu pertolongan," kata pengacara sensasi, Azwan Ali, 54.

Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA mendedahkan dia kini banyak menerima Direct Message (DM) di Instagram (IG) daripada orang ramai terutama di Sabah yang meminta bantuan keperluan barangan makanan kerana terjejas pendapatan akibat Covid-19.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun, Azwan berkata dia bukan tidak mahu membantu, tetapi lokasi mereka yang memerlukan itu sangat jauh. Tambahan pula, sekarang ini kerajaan masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Azwan yang kini namanya kembali meledak dan meniti populariti semula berkata dia amat bersyukur dilimpahi rezeki yang tidak diduganya daripada Allah SWT ketika ini selepas muncul mengacarakan program Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2) di TV3.

Ujar Azwan yang sering menggunakan tagline 'See My Level' ini, selain rezeki melimpah-ruah, dia juga didatangi semula oleh rakan-rakan lamanya yang pernah menjauh suatu ketika dahulu.



"Sekarang ini, apabila nama saya makin disebut-sebut, ramai jugalah rakan lama sejak dari sekolah dan dalam industri dulu sudah menghubungi ucap tahniah. Mereka juga tanya khabar dan kembali ingat pada saya.

"Kalau dulu, saat saya jatuh ramai yang 'lari' dan jika berjumpa pun mereka tidak kenal. Bukan saya nak merungut atau tidak menghargai persahabatan, tetapi kenapa perlu membudayakan sanjungan pada seseorang itu dibuat pada ketika dia popular.

"Kenapa dahulu, tidak terus bersama-sama dengannya di saat dia jatuh. Itu yang menjadi persoalan dan saya sebenarnya tidak minta pun dihargai tetapi bersahabatlah dengan ikhlas," ujarnya.



Azwan yang berganding dengan Elly Mazlein sebagai pengacara LCK2, cukup gembira apabila dua episod program realiti TV itu berjaya 'trending' di media sosial dan mendapat maklum balas positif warganet.

Mengulas perkembangan kerjayanya, Azwan berkata dia akan sibuk sehingga hujung Disember ini kerana selain mengacara, dia juga berlakon beberapa drama seperti Madam e- Wallet, Made dan Shah Alam 40K.

Selepas 20 tahun tidak berlakon, akuinya dia teruja dapat berganding dengan penyanyi paling diminatinya iaitu Ziana Zain yang turut membintangi drama Madam e- Wallet untuk tayangan di TV3 itu.

Tidak terkecuali, Azwan juga mengingatkan peminat untuk mengikutnya di akaun Instagram yang betul iaitu @divaazwanaavazzztersohor1 berikutan ada juga pihak yang sanggup membuat akaun palsu di atas namanya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Azwan Ali

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: