11 November 2020

VIDEO PARODI MENGENAI AIR SELANGOR - HARITH ISKANDER AKUI TIADA NIAT HENTAM



Pelawak, pengacara dan pelakon Harith Iskander baru-baru ini telah menghasilkan video lagu parodi mengenai masalah gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, semalam.

Harith, 54, ketika dihubungi berkata lawak berkenaan hanyalah sekadar suka-suka dan dia tiada niat untuk menghentam mana-mana pihak terutama pihak Air Selangor berkenaan lagu yang menggunakan lirik lagu All Out of Love nyanyian asal kumpulan Air Supply itu.

Katanya, dia mengetengahkan isu itu dalam parodi terbabit sebagai hiburan semata-mata dan percaya pihak Air Selangor sudah bekerja keras mengatasi masalah itu.

"Ketika ini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semua orang berada di rumah dan berdepan masalah gangguan bekalan air pula. Video itu sekadar hiburan sahaja. Tiada mesej yang ingin saya sampaikan pun. Ada masalah yang lebih besar belum diselesaikan iaitu pencemaran air. Inilah yang sebenarnya menjadi punca kepada gangguan bekalan air sehingga menyukarkan ramai orang.

Klik untuk gambar besar



"Saya tahu Air Selangor memang bekerja keras mencari penyelesaian masalah ini. Pasti ada tekanan buat mereka bagi mencari jalan untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Pemenang Funniest Person in the World 2016 itu juga ingin terus berkarya dengan idea sendiri bagi tujuan menyalurkan hiburan menerusi media sosial.

"Sekarang saya sedang mencari inspirasi dan idea untuk menghasilkan satu lagi klip mengenai isu ini. Siapa yang bersalah, kita akan dapat tahu tak lama lagi dan harapnya pihak yang menyebabkan masalah itu akan ditangkap," katanya.

Menerusi video berdurasi dua minit 33 saat itu, Harith menyanyi lagu parodi terbabit sambil bermain gitar dengan lirik kelakar menyentuh mengenai permasalahan itu. Video itu turut mendapat komen positif daripada pengikutnya yang rata-rata terhibur.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Harith Iskander

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: