15 December 2020

"BERSAMA LELAKI LAIN DI BILIK HOTEL..." - SUAMI DAKWA NADIA BRIAN CURANG DEPAN MATANYA



Pelakon Nadia Brian sebelum ini tampil membuka mulut dimana dia mengesahkan suaminya, Muizz Nasruddin sudah memfailkan kes perceraian mereka dan menunggu tarikh perbicaraan daripada pihak mahkamah, selepas pengolakan rumah tangga mereka menjadi teka-teki dan hangat diperkatakan beberapa bulan lalu.

Ketika ditanya berhubung perkara itu, suami Nadia mengesahkannya dan berkata dia menfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pada 2 Oktober lalu. Ujarnya, jika dia terus berdiam diri dan tidak menceraikan isterinya, dia akan dianggap lelaki dayus.

"Sepatutnya tarikh pembicaraan ditetapkan pada 3 November lalu, namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kes sebutan dan bicara ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan ditetapkan kelak.

"Saya nekad dengan keputusan ini kerana kecurangan yang dilakukan isteri, amat sukar untuk saya maafkan. Jika saya tak ceraikan dia, saya menjadi suami yang dayus. Moga Allah lembutkan hati saya untuk maafkan perbuatannya," katanya.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Muizz berkata dia sudah pun membuat laporan polis pada 6 Oktober lalu serta mempunyai bukti isterinya menginap di sebuah hotel bersama seorang lelaki. Dakwanya lagi, dia melihat dengan matanya sendiri kejadian itu.

"Ramai yang tanyakan mengenai bukti-bukti yang ada pada saya. Ikutkan hati, saya memang nak tunjuk. Namun, oleh kerana kes ini masih dalam siasatan polis, saya serahkan kepada mereka. Ada juga bukti dan keterangan lain daripada pihak saya untuk membuktikan mereka berdua menginap di situ selama dua malam.

"Sekiranya siasatan selesai, apa yang dilakukan lelaki ini adalah satu kesalahan jenayah dan boleh dituduh di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah.

"Saya tak faham 'fitnah' apa yang dikatakan oleh isteri saya. Kenapa saya nak fitnah isteri sendiri? Kami baru berkahwin tak sampai setahun. Apa yang saya peroleh dari semua ini? Saya ada bukti yang secukupnya. Saya sendiri nampak isteri saya bersama seorang lelaki di bilik hotel di Cyberjaya," jelasnya.



Menurut Muizz lagi, dia turut kesal apabila isterinya masih cuba berselindung walaupun sudah mengakui kesilapannya. Muizz turut mempersoalkan mengapa isterinya dakwa difitnah sedangkan sudah akui kesilapannya.

"Saya sudah tunjuk bukti-bukti yang saya ada kepada isteri dan keluarganya. Isteri saya pun mengaku kesilapannya kepada saya. Adakah itu masih fitnah? Kenapa tidak nafikan kenyataan saya? Sudah sudahlah berlagak sebagai mangsa di media sosial untuk menunjukan yang saya ini jahat. Kenapa masih menegakkan benang basah?

"Saya tidak berhasrat untuk mengaibkan isteri tetapi saya harus bersihkan nama dan maruah saya dan keluarga. Saya juga harap ini dapat dijadikan satu pengajaran kepada mereka yang dicurangi kerana ada undang-undang yang boleh membantu kita," ujarnya.

Sementara itu, usaha menghubungi Nadia bagi mendapatkan komennya tidak berjaya apabila dia tidak membalas mesej WhatsApp. Untuk makluman, Nadia dan Muizz diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 9 November tahun lalu.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Muizz Nasruddin & Nadia Brian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: