04 December 2020

DIDERA PEMBANTU RUMAH, BERMASALAH DENGAN AYAH - CIK B NAFI 'TOLONGLAH' SUARA YONNYBOII



"Saya harap orang menerima saya membawa lagu ini walaupun mungkin ada yang tidak percaya dengan kisah hidup itu kerana saya nampak 'happy'. Memanglah dari kecil saya ibarat dulang emas tetapi apa yang orang tidak tahu, saya selalu kena kurung dan didera pembantu rumah dan bermasalah dengan ayah.

"Lagu ini mengenai hidup saya dari kecil hingga dewasa," demikian kata anak kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida iaitu Cik B yang memberitahu single pertamanya berjudul 'Tolonglah' yang kini trending nombor 1 di saluran YouTube itu berkisarkan pengalamannya sendiri.

Video muzik 'Tolonglah' yang dilancarkan di YouTube 1 Disember lalu itu kini trending nombor 1. Sehingga kini, ia mencatat lebih 1.3 juta tontonan di laman penstriman video itu.

Cik B atau nama sebenarnya Nor Edlynn Zamileen berkata, lagu genre rap adalah ciptaannya bersama seorang teman dengan menampilkan idea gubahan lirik dan dilatari penyusunan video oleh Vida bersama Cik B sendiri.

Klik untuk gambar besar



Gadis berusia 15 tahun itu berkata pasti ramai tidak menyangka meskipun hidupnya senang sejak kecil namun siapa sangka dia menjadi mangsa dera pembantu rumah.

Dalam pada itu, Cik B berkata lagu tersebut sudah siap sejak hujung tahun lalu lagi namun belum dilancarkan kerana dia belum ada keberanian lagi ketika itu. Ujarnya, kini dia sudah percaya pada diri sendiri dan kurang rasa malu.

"Ia sepatutnya dikeluarkan lebih awal tetapi ketika itu saya belum bersedia kerana masih ada rasa malu dan takut untuk berdepan dengan media. Baru sekarang saya berasa okey sebab saya dah kurang malu dan saya percaya dengan diri sendiri sekarang," ujarnya.

Sudah lali dengan kecaman netizen sejak usia 12 tahun lagi, Cik B berkata dia sudah bersedia dengan kritikan netizen mengenai nyanyiannya itu. Bagaimanapun, Cik B akui ada menggunakan auto-tune pada nyanyiannya.



"Sejak berusia 12 tahun lagi saya selalu kena kecam. Jadi, sekarang sudah lali dengan kecaman. Saya bersedia untuk menyanyi secara 'live' kerana itulah suara saya, cuma saya hanya memakai sedikit 'auto- tune' kerana saya pelat 'S'," tutur Cik B.

Kata Cik B yang berlakon dalam drama bersiri 'Lelaki Lingkungan Cinta' di TV3 baru-baru ini, juga tidak kisah dikatakan mengambil aura populariti ibunya Datuk Seri Vida untuk membina kehidupannya ketika ini.

"Saya tidak kisah orang kata saya mengambil kesempatan terhadap mama kerana sebenarnya saya ada pendirian sendiri. Kalau mama dah bersara dalam bidang ini saya ada gantinya dan kalau saya mengambil kesempatan tiada apa-apakan. Kami sekeluarga berkongsi apa yang kami mahu.

"Ini kehidupan saya, saya nak buat banyak benda. Saya mahu menjadi 'multitasking dengan berlakon, menyanyi, berniaga dan kalau ada rezeki saya hendak keluar pula ke peringkat antarabangsa," katanya turut memaklumkan bakal mengeluarkan single kedua tahun depan.



Mempunyai ramai pengikut dan sebagai anak jutawan kosmetik, Cik B berkemungkinan berdepan dengan pihak yang cuba mengeksploitasi dan mengambil kesempatan. Namun, Cik B dengan gaya penampilan baharu kini menegaskan dia benar-benar bersedia menjadi selebriti dan menepis semua tanggapan negatif.

"Imej dalam lagu itu adalah imej saya sendiri. Lagu itu memberi kekuatan untuk keluar dari kepompong dan malu untuk berdepan dengan semua selama ini," ujarnya yang akan cuba sedaya-upaya menguruskan jadual masa kehidupannya sebagai selebriti dan masa untuk belajar.

Sementara itu, Cik B ketika ditanya mengenai single pertamanya, 'Tolonglah' yang didakwa menggunakan suara penyany rap popular, Yonnyboii oleh netizen, ini jawabnya: "Itu suara sayalah". Cik B berkata, Yonnyboii yang juga rakannya turut menafikan suara mereka ada persamaan.

"Saya memang berkawan dengan Yonnyboii dan dia sendiri pun cakap suara kami tak sama. Mungkin cara nyanyian dan rap yang saya sampaikan lebih kurang sama dengan Yonnyboii, ditambah pula dengan suara serak saya kedengaran seperti suara lelaki. Jadi, ramai menyangka itu suara Yonnyboii," katanya yang juga pelakon drama 'Lelaki Lingkungan Cinta' yang ditayangkan di TV3, baru-baru ini.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: