06 December 2020

'GERAK KHAS THE FINALE' DI TV3 BUKAN RTM - YUSOF HASLAM 'KUNCI MULUT'



Semua sedia maklum mengenai drama siri kepolisan popular terbitan Datuk Yusof Haslam iaitu 'Gerak Khas' apabila episod terakhirnya kini ditayangkan TV3.

Gerak Khas yang dahulunya di disiarkan RTM, kini dikenali sebagai 'Gerak Khas The Finale', akan menutup tirai selama-lamanya selepas episod ke-28 nanti. Drama ini akan menemui penonton TV3 setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 10.30 malam mulai 4 Disember lalu.

Mnegulas perkara tersebut, pengarah dan penerbit berusia 66 tahun berkata, dia tidak bermasam muka dengan RTM dan hubungan mereka tetap kekal baik seperti dahulu.

"Ada banyak peristiwa, tapi biarlah ia menjadi rahsia saya dan saya tak mahu mendedahkan perkara ini kerana membabitkan stesen televisyen. Hubungan kami bukan baharu kerana dah 35 tahun bersama. Saya kenang budi mereka dan saya juga ada peranan bersama RTM.

Klik untuk gambar besar



"Ini juga adalah hubungan menang-menang dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah lama bekerjasama untuk mengangkat satu program berbentuk kepolisan.

"Ada yang nampak Gerak Khas dah tak relevan dan terlalu lama. Tapi, ia tetap diterima dan membuktikan pengaruh drama itu masih kuat di kalangan peminat," tuturnya.

Terdahulu, Yusof muncul menerusi sesi temubual di Google Meet bersama media yang turut disertai pelakon Erra Fazira di Sri Pentas, manakala Salina Saibi dan Sheera Iskandar secara dalam talian. Yusof mengakui terharu apabila tayangan pertama 'Gerak Khas The Finale' menjadi trending di kalangan penonton, baru-baru ini.



"Saya rasa terharu dan ucapkan terima kasih kepada peminat yang menonton siri Gerak Khas The Finale di TV3. Ia satu penghargaan dan semangat kepada kami yang terus berjuang.

"Ini adalah final dan musim terakhir. Bila ditulis di situ Gerak Khas The Finale, bermakna ini musim terakhir siri Gerak Khas. Kalau ada pun nanti, mungkin ia ada hubungkait dengan siri baru yang akan kami buat. Namun dari segi paksi cerita, agak berlainan," katanya.

Menurutnya penggambaran untuk siri ini dibuat pada Oktober tahun lalu dan berjalan lancar: "Kami berjaya siapkan 20 episod sehinggalah Mac lalu dunia di landa Covid-19 dan buatkan aktiviti penggambaran terpaksa dihentikan seketika.



"Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan, barulah penggambaran di sambung semula. Cabaran adalah perkara biasa. Untuk Gerak Khas, kami mampu siapkan empat atau lima episod setiap bulan. Ia tak sama dengan drama lain," ujarnya.

Ditanya apakah drama ini akan disambung sekiranya mencatat tontonan tertinggi, Yusof tetap dengan keputusan ini adalah musim terakhir Gerak Khas.

"Siri ini dah bertahan lama, jadi eloklah kita hentikan dan menjadi kenangan manis kepada semua mereka yang terbabit, termasuk penonton. Setiap yang bermula akan berakhir. Dalam kehidupan kita pun sama. Untuk yang ini, saya buat keputusan adalah penamat.

"Selepas ini saya nak hasilkan drama genre kepolisan yang baharu. Ataupun cerita berkenaan penguatkuasa lain yang masih dalam perancangan," jelasnya.





www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: