24 January 2021

COVID-19 - GILIRAN APRENA MANROSE PULA POSITIF



Jika sebelum ini ramai artis dan selebriti kita positif COVID-19, kini giliran pelakon Aprena Manrose pula disahkan positif wabak tersebut pada 17 Januari lalu, selepas dua kali ujian saringan.

Kata Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, dia mengambil masa lama untuk berkongsi perkara itu, namun bersyukur suaminya iaitu Mohd Afiq Hazman disahkan negatif.

"Sekarang, kami kuarantin di rumah. Teman baik, Emma Maembong yang disahkan positif wabak ini, banyak memberi semangat dan berkongsi pelbagai perkara. Pada mulanya, selepas bercerita mengenai pelbagai simptom kepada Emma, dia mengesyorkan saya membuat ujian calitan.

"Sebaik mendapat tahu keputusannya positif, saya terus menghubungi semua kontak rapat untuk membuat saringan jika ada gejala. Alhamdulillah, mereka semua mendapat keputusan negatif," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Aprena yang juga anak bekas penyanyi dangdut, Iwan dan penerbit, Allahyarham Rosnah Mohd Noor, itu berkongsi mengenai dirinya disahkan positif COVID-19 melalui laman Instagram (IG) miliknya, semalam.

Bagaimanapun, Aprena risau bapanya yang kebetulan datang menziarah dan bermalam di rumah, beberapa hari sebelum dia disahkan positif COVID-19.

"Papa demam berhari-hari, malah, lebih lama daripada saya. Papa juga ada sakit kencing manis dan darah tinggi. Saya suruh Papa buat pemeriksaan lanjut di hospital berdekatan rumah. Alhamdulillah, hasil pemeriksaan, Papa okay. Pada mulanya, saya fikir, mungkin virus datang dari Papa, tetapi bukan.



"Dalam keadaan sekarang dengan kes meningkat, kita tidak tahu siapa yang menyebarkan virus berkenaan," katanya yang mengamalkan pengambilan vitamin C dan D serta minum air lemon untuk menguatkan daya tahan badan.

Aprena yang juga adik kepada pelakon Oktovia Manrose, berharap mereka yang positif COVID-19 usah dianggap penjenayah. Dalam masa sama, Aprena juga menasihatkan individu senasib dengannya agar tenang dan sentiasa berfikiran positif

"Pesakit COVID-19 bukan penjenayah. Kalau anda rasa ada gejala, tampilkan diri untuk buat ujian saringan atau kuarantin di rumah selama 10 hari. Jika tidak, mungkin anda boleh sebarkan lagi virus ini. Kita lawan bersama-sama... Insya-Allah.

"Seperti yang kita tahu, kes semakin meningkat. Kebarangkalian untuk kita dijangkiti sangat tinggi. Kepada rakyat Malaysia, tolonglah jadi manusia bertanggungjawab. Patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," tuturnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Aprena Manrose

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: