15 January 2021

EMELDA ENGGAN MEDIASI DENGAN ZARINA - KES FITNAH SIBER DIBAWA KE MAHKAMAH TINGGI



Umum sedia maklum mengenai isu yang melanda antara pelakon Zarina Anjoulie Lavocah dengan pelakon Emelda Rosmila sebelum ini hangat diperkatakan.

Dek kerana itu, Zarina telah menfailkan saman fitnah siber terhadap Emelda Rosmila. Namun begitu, kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas gagal diselesaikan melalui proses mediasi.

Peguam yang mewakili Zarina, Wan Azmir Wan Majid daripada firma guaman NHA Advocates and Solicitors berkata, Emelda selaku defendan enggan meneruskan proses mediasi yang disarankan mahkamah dan kes ini akan melalui perbicaraan penuh.

"Kami berharap semuanya berjalan lancar seperti yang dicadangkan mahkamah dan kedua-dua pihak dapat mencari jalan penyelesaian.

"Namun kerana Emelda tidak mahu meneruskan mediasi, nampaknya kes ini akan melalui bicara penuh dan kami pasti akan memberikan yang terbaik untuk anak guam sewaktu perbicaraan di mahkamah nanti," katanya yang turut dibantu peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli.

Emelda selaku defendan didakwa telah memfitnah, melakukan pembulian siber dan penyerangan reputasi terhadap Zarina.

Klik untuk gambar besar



Pada 15 Oktober tahun lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mencadangkan agar kedua-dua pihak menjalani proses mediasi dan Zarina mengusulkan kepada Emelda pada 19 November tahun lalu agar proses tersebut diadakan pada Januari.

Namun, Emelda menerusi peguamnya menjawab pelawaan itu pada 25 November lalu bahawa dia enggan mengambil bahagian dalam proses mediasi untuk mencapai penyelesaian bagi kedua-dua pihak.

Mediasi adalah alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh yang menawarkan faedah-faedah seperti perkhidmatan percuma dengan mediator terdiri daripada hakim dan pegawai kehakiman berpengalaman serta berpengetahuan.

Dalam sesi berkenaan, tiada pihak yang kalah kerana persetujuan untuk penyelesaian dicapai secara sukarela, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang dan perjanjian penyelesaian juga mengikat pihak-pihak mengikut undang-undang kontrak.

Menurut Wan Azmir lagi, pihaknya menuntut agar kos pindahan ke Mahkamah Tinggi ditanggung pihak defenden: "Ini adalah kali kedua Emelda memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.


"Kali pertama ia diajukan, Zarina tidak membantah, tetapi permohonan tersebut ditarik balik oleh defendan Emelda setelah permohonan dibuat bagi alasan yang hanya diketahui oleh beliau.

"Setelah itu permohonan tersebut diajukan kembali dan sekali lagi, kami tidak keberatan menurut kemahuan pihak Emelda tetapi kali ini kami memohon agar kos pindahan dibayar oleh defendan," tambah Wan Azmir.

Susulan itu mahkamah memerintahkan Emelda untuk membayar kos kepada Zarina bagi membolehkan kes sivil tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Zarina mengambil tindakan saman terhadap Emelda selepas didakwa memfitnah dirinya menerusi aplikasi Telegram dan akaun media sosial. Zarina menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk mengelakkan Emelda memfitnahnya di masa depan.

Selain itu, Zarina mahu Emelda membuat permohonan maaf yang disiarkan di media cetak dan akaun media sosial aktres itu sendiri. Wan Azmir Wan Majid, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zuklifli juga mewakili Zarina bagi saman fitnah sibernya terhadap dua pelakon lain iaitu Amyza Aznan dan Fara Mendoza.


www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Instagram Emelda Rose & Zarina Anjoulie

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: