06 January 2021

HARRIS ANNUAR KECEWA: "SAYA CABAR INDIVIDU YANG TUDUH SAYA BERHIBUR TAMPIL BUKTIKAN"



Baru-baru ini, timbul dakwaan mengatakan pelakon dan personaliti media sosial, Harris Annuar berhibur di beberapa kelab malam dan hotel sekitar Langkawi sehingga disahkan positif Covid-19.

Harris berkata, dia terkilan apabila ada pihak sesuka hati melemparkan pelbagai tuduhan termasuk mendakwa dirinya berhibur di beberapa kelab malam dan hotel sekitar Langkawi.

"Saya cabar individu yang menuduh saya berhibur di Langkawi pada malam sambutan tahun baharu lalu untuk tampil buktikannya. Saya bukan jenis kaki parti. Kalau di Kuala Lumpur pun saya tak berminat nak pergi apatah lagi di sana.

"Saya hanya pergi ke kelab malam jika ada majlis pelancaran sahaja dan atas urusan kerja saja. Kawan-kawan saya tahu yang saya bukan jenis begitu. Saya sedih apabila difitnah begitu teruk.

Klik untuk gambar besar



"Pada malam tahun baharu saya hanya lepak di kafe Scuba. Itupun kafe terbabit tak ramai orang jika dibandingkan dengan kafe lain berdekatannya. Ini satu fitnah yang agak berat apabila mengatakan saya seorang kaki parti," katanya.

Menurut Harris, dia kecewa apabila menjadi mangsa kecaman netizen di laman sosial apabila mendedahkan dirinya positif wabak berkenaan.

"Saya tak tahu macam mana nak terangkan apabila orang menganggap saya seolah-olah pembawa sedangkan saya dijangkiti ketika berada di Langkawi. Ramai yang mengecam mengatakan saya tidak memakai pelitup muka sedangkan jika membuat carian menggunakan tanda pagar #PulauLangkawi berapa ramai yang tidak memakai penutup muka ketika bergambar?.

"Jadi samalah dengan saya apabila mahu bergambar. Namun selepas itu saya akan memakainya. Saya seorang yang mengambil berat mengenai keselamatan diri dan akan mengimbas kod My Sejahtera. Sebab itu, sebaik pulang dari Langkawi saya ambil tanggungjawab untuk terus membuat ujian saringan kerana rasa panas badan.


"Ramai yang marah sebab saya pergi melancong, bagaimana pula dengan orang lain yang turut mengambil peluang sama untuk bercuti di sana tapi apabila pulang tidak melakukan ujian saringan atau kuarintin diri di rumah.

"Saya bukan minta dipuji tapi sekurang-kurangnya saya ambil tanggungjawab untuk melakukan ujian saringan berbanding orang lain yang tidak melakukannya sekali gus mungkin membahayakan nyawa orang lain," jelasnya.

Terdahulu, Harris disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan yang dikendalikan sebuah klinik swasta di Bandar Baru Bangi, Selangor, kelmarin. Menurut Harris, dua rakan baiknya, Tajuddin Bakar dan Abdul Wahiduzzaman turut didapati positif Covid-19.

"Saya bersama mereka kini menjalani kuarantin di rumah sewa Tajuddin. Kami masih menunggu panggilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut. Alhamdulillah setakat ini kami bertiga berada dalam keadaan baik," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Harris Annuar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: