10 January 2021

KERETA BMW, TAJUL BELI HASIL BANTU ISTERI BERNIAGA: "SAYA SEDAR DIRI TIDAK TERKENAL..."



"Saya hanya kongsi foto kereta baharu itu di InstagramStory dan tak sangka pula ada netizen yang perasan, hingga ada di antaranya menghantar mesej langsung (DM) kepada saya bertanya.

"Rata-rata yang DM itu mempersoalkan dari mana saya dapat duit beli kereta mewah kerana menyanyi pun, bukanlah popular. Tak dinafikan, saya sedar diri memang tidak terkenal pun.

"Namun, saya membeli kereta BMW itu dengan wang halal hasil membantu isteri, Nurul Shamieza Eddie yang berniaga menjual barang-barang untuk wanita secara dalam talian sejak tiga tahun lalu," demikian kata penyanyi Tajul Ariff.

Penyanyi lagu 'Melamar Rindu' itu mendedahkan rezekinya dapat membeli kereta mewah jenis BMW baru-baru ini, sebagai rezeki keluarga dan bakal anak keduanya yang dijangka lahir pada Mei, depan.

Klik untuk gambar besar



Selain ia kereta idaman yang diimpikannya, Tajul, 22, berkata dia membelinya demi keselesaan isteri dan anak memandangkan ahli keluarganya pun akan bertambah.

Menurut Tajul, dia tahu pada ketika penularan Covid-19 dalam negara ketika ini, industri hiburan terutama bidang nyanyian memang terjejas kerana aktiviti persembahan tidak dibenarkan berlangsung.

"Tolong tengok positif, rezeki Allah SWT ini luas dan tidak hanya menyanyi atau kerjaya seni sahaja. Saya dan isteri, kami saling membantu dalam perniagaan di usahakan dan sekarang Alhamdulillah, ada rezeki lebih dapat beli kereta baharu.


"Kami sangat berusaha dalam perniagaan ini untuk mencari rezeki halal menyara keluarga. Saya harap dengan penjelasan ini, kepada semua yang bertanya itu berpuas hati," ujarnya.

Tajul sebelum ini turut mengumumkan isterinya hamil enam bulan, anak kedua mereka. Untuk makluman, pasangan muda yang berkahwin secara rahsia pada 2017 itu sudah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Adriana Carissa yang kini berusia setahun dua bulan.

Selain itu, untuk kerjaya nyanyiannya pula, Tajul juga baharu muncul dengan lagu solo berjudul 'Izinkan Aku' hasil ciptaan penyanyi dan komposer muda dikenali Tuah Adzmi.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Tajul Ariff & @icaaeddie

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: