23 January 2021

NAZ EMPIRE SAMAN 3 JUTA - AWAL ASHAARI FAILKAN TUNTUTAN BALAS RM750,000



Pelakon dan pengacara Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 39, yang sebelum ini disaman RM3 juta oleh sebuah syarikat perkhidmatan mengubah suai rumah atas dakwaan memfitnah itu telah memfailkan tuntutan balas ganti rugi RM750,000 daripada syarikat itu berhubung kegagalan melaksanakan kerja pengubahsuaian di kediamannya.

Personaliti televisyen berusia 39 tahun itu yang memfailkan tuntutan itu terhadap Naz Empire Sdn Bhd menerusi Tetuan Azlan Razak & Associates pada 30 Disember tahun lalu, menuntut semula wang pendahuluan RM100,000 dan kos baik pulih sebanyak RM650,000 serta faedah, selain kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Tuntutan itu mendakwa suami kepada pelakon dan pengacara Scha Alyahya itu sudah menyatakan hasrat kepada Naz Empire untuk menarik balik tawaran bagi melakukan kerja pengubahsuaian rumah di Sunway Damansara, tetapi menerima tawaran bagi kerja pengubahsuaian di kediamannya yang lain di Sri Hartamas di sini.

"Naz Empire bersetuju menaja kos kerja perkayuan bagi bilik tidur utama rumah di Sri Hartamas dan turut menawarkan untuk menaja sebahagian daripada kos kerja pengubahsuaian dapur di rumah itu. Sebagai balasan, Naz Empire mencadangkan kepada saya untuk mengiklankan dan mempromosikan syarikatnya di media sosial selepas semua kerja disempurnakan," katanya dalam tuntutan itu.

Awal berkata, pada 25 Julai 2019, kedua-dua pihak memeterai kontrak yang menyaksikan pelakon itu melantik Naz Empire sebagai kontraktor bagi kerja pengubahsuaian dapur kering, ruang keluarga, ruang tamu, dapur basah, ruang solek, serambi dan dapur tambahan serta kerja pengubahsuaian ditaja membabitkan empat bilik tidur rumah di Sri Hartamas yang perlu diselesaikan pada 8 Februari 2020.

Pada 21 Oktober 2019, Awal mendapati kerja pengubahsuaian dapur tidak seperti dipersetujui dan Naz Empire juga gagal hadir pada temu janji ditetapkan bagi membincangkan perkara itu hingga beliau menghantar satu mesej kepada syarikat terbabit supaya menghentikan kerja berkenaan selepas tidak memberi kerjasama bagi menangani masalah terbabit.

"Saya akhirnya memberi Naz Empire dua pilihan sama ada menyiapkan kerja itu tanpa menerima pembayaran tambahan atau syarikat itu menghentikan kerja dan memulangkan wang pendahuluan RM80,000 daripada RM100,000 yang diberikan kepada mereka.

"Naz Empire kemudian bersetuju menghentikan kerja dan terus menyiapkan kerja yang ditaja. Namun, Naz Empire masih gagal memberikan lakaran reka bentuk berserta ukuran dan pelan lantai selepas diminta, sebaliknya hanya menunjukkan lakaran melalui paparan skrin komputer milik syarikat itu," tuturnya.

Awal mendakwa, beliau sekali lagi meminta syarikat itu memulangkan RM80,000 daripada pendahuluan yang dibayar sebagai kos ganti rugi untuk melantik kontraktor baharu bagi menyempurnakan kerja itu, namun Naz Empire sering mengelak menjawab panggilan atau membalas pesanannya dan pembantu menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili Awal ketika dihubungi berkata, mahkamah menetapkan Rabu ini untuk pengurusan kes.

Pada 13 November tahun lalu, Naz Empire memfailkan saman terhadap Awal dan dua lagi individu yang juga rakan kongsi perniagaan atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise iaitu Nawal Yasmin Mat Noh serta Muhammad Hilmi Zulkifli kerana didakwa memfitnah syarikat itu berhubung kerja pengubahsuaian di kediaman pelakon itu.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & BERNAMA

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: