16 February 2021

14 MAC DEPAN - AJL35 DIJANGKA BERLANGSUNG SELEPAS LEBIH SEBULAN DITUNDA



"Kami telah bersedia untuk menganjurkan AJL35 dalam norma baharu. Penularan Covid-19 ini membuatkan kami lebih menitik beratkan kesihatan kakitangan, artis-artis serta mereka yang terlibat menjayakan produksi ini.

"Dalam situasi penularan pandemik ini, kami akan memanfaatkan kebenaran serta kelonggaran yang diberikan oleh MKN yang telah berkuatkuasa bermula 8 Januari lalu. Bila mendengar keputusan tersebut, perancangan teliti dibuat untuk memastikan kelancaran acara tahunan berprestij ini dan merancang untuk menganjurkan AJL35 pada 14 Mac 2021.

"Namun tarikh tersebut bukanlah tarikh muktamad kerana kami perlu akur dengan sebarang ketetapan yang bakal diumumkan oleh pihak MKN dari semasa ke semasa berkaitan tempoh PKP," kata Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang ditunda bulan lalu kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dijadualkan bersiaran pada 14 Mac depan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, jam 9 malam.

Menurut Khairul Anwar, program nyanyian itu diteruskan selepas mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN). Khairul Anwar bagaimanapun berkata, mereka masih lagi tertakluk dengan sebarang perubahan yang mungkin akan diumumkan kerajaan kelak.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid memberitahu, persiapan menjelang anugerah berprestij yang tertunda lebih sebulan itu kini disambung semula.

"Kami sedang menyambung semula kerja-kerja yang tergendala sejak awal tahun lalu. Ketika itu, kami sudah memikirkan konsep, melakukan penggambaran penjenamaan iklan, berbincang dengan finalis mengenai props mereka dan sebagainya. Namun, kerja-kerja pertukangan set atau sebarang percetakan bahan publisiti lain belum dimulakan lagi," ujarnya.

Menurut Nurhul, tarikh itu juga bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MBSA. Katanya, aspek keselamatan terutama prosedur operasi standard (SOP) paling dititikberatkan bagi memastikan penganjuran acara itu lancar. Pihaknya juga akur jika terpaksa menundanya lagi sekiranya keadaan tidak mengizinkan lagi.

"Perkara paling penting ialah keselamatan dan kesihatan rakan-rakan sekerja kami. Ini termasuklah kakitangan Media Prima Berhad, vendor dan artis. Kami juga akan sentiasa patuhi SOP ditetapkan kerajaan. Jumlah kru bertugas akan dikurangkan sebanyak mungkin dan pelaksanaan tugas berkala akan dikuatkuasakan.

"Jadual bertugas kru berbeza bagi mengelakkan situasi bekerja secara berkelompok. Sekiranya PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilanjutkan, saya percaya bahawa pihak kami akan mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan serta arahan MKN pada ketika itu. Itu adalah jalan terakhir kami sebenarnya," jelasnya.


Menurutnya, hubungan pasukan produksi dengan kerajaan memang rapat dari segi pelaksanaan tugas itu. Mereka akan melaksanakan tugas seperti dibincangkan dan setakat ini berusaha untuk menjayakan AJL35 pada tarikh diumumkan dengan SOP yang lebih ketat.

Selain melakukan sanitasi di kawasan persekitaran dan peralatan digunakan, semua kru dan artis diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum 14 Mac ini.

"Jika ada yang positif, mereka dikehendaki menjalani kuarantin mengikut SOP ditetapkan. Sekiranya finalis yang didapati positif ketika itu, mereka dikehendaki mencari pengganti," katanya.

Dalam pada itu, Nurhul turut bersyukur kerana semua finalis, penari dan pemuzik prihatin dan peka dengan isu semasa. AJL35 sepatutnya bersiaran pada 7 Februari lalu. Bagaimanapun, produksi dan stesen penyiar terpaksa menunda tarikh siaran disebabkan lanjutan tempoh PKP.

"Sejak PKP dilaksanakan pada 13 Januari lalu dan AJL35 terpaksa ditunda, mereka tidak pernah merungut kepada kami. Namun, kita juga harus faham mereka kini hilang punca pendapatan. Oleh itu, penundaan AJL35 ke tarikh yang lebih jauh adalah pilihan atau kaedah terakhir. Kami tetap akan teruskan dengan perancangan AJL35 tanpa penonton," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: