15 February 2021

MARK ADAM GENG HOT FM BARU - NETIZEN TERHIBUR, HARAP TIADA SHUK



"Kerjaya saya terus berubah 360 darjah. Semasa ditawarkan untuk menjadi penyampai di Hot FM, saya fikir banyak kali sebab ini bukan saja kerjaya tetapi tanggungjawab yang perlu saya galas.

"Namun saya sedar peluang sebegini bukan datang selalu dan terus membuat keputusan untuk menyertai Hot FM. Peluang ini juga memberi ruang untuk saya mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru.

"Bahasa Melayu bukanlah bahasa pertama saya, jadi untuk bertutur dengan lancar sebagai penyampai radio merupakan satu cabaran buat saya tetapi saya juga melihat peluang di Hot FM ini adalah salah satu cara untuk memperbaiki bahasa pertuturan saya.

"Sememangnya perasaan sangat teruja untuk ke udara, tetapi rasa gugup memang ada kerana bukan mudah untuk menghiburkan pendengar menerusi radio. Kalau di program TV, saya tak cakap apa-apa pun orang sudah terhibur dan boleh bergelak ketawa. Tetapi, di radio saya kena sentiasa ada idea untuk dilontarkan dan pastikan para pendengar memahami informasi yang disampaikan.

Klik untuk gambar besar

"InsyaAllah, saya bersama Fizie dan Hot FM akan mencuba untuk menyajikan pengisian yang terbaik dan semoga para pendengar akan terhibur setiap pagi bersama GPH di Hot FM," itulah kata-kata penyanyi dan pelakon Mark Adam apabila dia diumum sebagai penyampai baru segmen Geng Pagi Hot hari ini, sekaligus menjawab segalanya teka teki.

Untuk pengetahuan, Mark bergandingan bersama Fizie dalam segmen Geng Pagi Hot (GPH) bagi menggantikan Shuib Sepahtu yang mengundurkan diri pada akhir Januari lalu. Ditanya berhubung tawaran itu yang diterimanya, Mark akui kerjayanya berubah 360 darjah.

Malah, Mark juga mengakui yang dia teruja untuk memulakan tugas selepas menjalani sesi latihan bersama Fizie selama hampir sebulan. Sedar kekurangannya bertutur dalam bahasa Melayu, Mark berkata ia tidak menjadi halangan untuk dia terus menghiburkan pendengar dan teruja untuk menjalani sesi latihan.



Melihat pada ruangan komen di laman Instagram Hot FM, ramai yang gembira dengan kehadiran Mark dan terhibur dengan telatahnya yang bersahaja serta berharap penyanyi berasal dari Filipina itu akan menjaga disiplin.

Sementara itu, Hot FM sebelum ini memberitahu Shuk masih digantung tugas sementara sebagai penyampai radio berkenan pada 25 Januari lalu bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan melakukan siasatan dalaman mengenai isu rumah tangga pelawak itu yang tular di media sosial.

Sehingga kini, pihak pengurusan Hot FM mengesahkan bahawa isu ini masih dikaji dan dalam perbincangan dan sebarang pengumuman akan diumumkan kelak.









www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Mark Adam

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: