05 February 2021

TAHNIAH - JARAK 17 TAHUN, INTAN LADYANA KINI ISTERI HARRIS ALIF



Alhamdulillah... pada jam 10 pagi tadi, pasangan pelakon Intan Ladyana, 39, dan Harris Alif, 22, telah sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Acara akad nikah pasangan yang jarak usia 17 tahun itu disempurnakan Penolong Pengarah Jawi, Ustaz Muhammad Azlan Marukum selaku jurunikah dan juga wakil wali. Hadir sama, Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Nasir Abdullah.

Pada majlis serba ringkas itu, Harris menyerahkan mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian. Manakala barangan hantaran sembilan dulang daripada pihak pengantin perempuan bebalas tujuh dulang daripada pihak lelaki.

Harris yang merupakan seorang penyanyi, pelakon dan pengacara itu berkata, majlis diawalkan sehari dari tarikh asal iaitu 6 Februari atas persetujuan kedua belah pihak dan Jawi.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah, syukur majlis sudah selesai. Paling penting adalah nikah. Ia diawalkan sehari disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kebetulan pihak Jawi juga setuju dengan tarikh hari ini, jadi kami putuskan untuk buat hari ini.

"Majlis hari ini memang berlangsung mengikut SOP ditetapkan. Kami sama saja seperti orang lain. Cuma, hari ini pihak Jawi membenarkan kami hadir bersama tujuh orang lagi daripada kedua belah pihak," tuturnya.

Berkongsi mengenai perasaannya selepas sah bernikah, Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi memberitahu, bermula sudah tanggungjawab barunya sebagai suami.

"Sebelum akad nikah, rasa seperti tidak ada apa-apa. Apabila duduk di kerusi, ketika nak lafaz baru terasa gementar. Tapi, selepas selesai memang terus lega.



"Dalam masa sama, terus ada satu perasaan yang mana bermula sudah tanggungjawab baru sebagai ketua keluarga. Selepas ini saya sudah hidup berdua. Ini adalah langkah baru untuk ke alam perkahwinan dan sebagai suami," katanya.

Sementara itu, Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat Yahaya tidak menjangka majlis pernikahan mereka berlangsung dalam keadaan cepat.

"Disebabkan keadaan semasa yang tidak menentu, agak susah nak buat perancangan. Jadi, jalan terbaik adalah dahulukan majlis nikah kerana ini yang penting.



"Apabila jurunikah sebut sudah sah, saya terus terasa seperti, sudah selesai kah? Cepat betul rasanya. Selama ini saya berfikir ia ambil masa yang lama. Alhamdulillah, ia lancar dan dipermudahkan," ujarnya.

Mengenai perancangan tiga majlis resepsi, Intan memaklumkan, semua itu kena ditangguhkan dahulu dan bergantung kepada SOP ditetapkan.

"Buat masa sekarang semuanya kena tangguh dulu. Nak letak tarikh pada kad jemputan pun masih teragak-agak. Apa pun tunggu semuanya reda dulu. Insya-Allah kalau ada rezeki," jelasnya.

Mengikut perancangan awal, pasangan ini turut mendapat tajaan lebih RM13.5 juta untuk beberapa majlis yang sepatutnya dilangsungkan termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi dan majlis bertandang. Terdahulu, Harris mendedahkan merisik Intan pada Julai tahun lalu selepas bercinta pada Mac tahun sama.














www.myartis.com / Sumber & foto: Rotikaya, Media Hiburan, Harian Metro, Instagram Intan Ladyana & #harrisintan

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: