26 March 2021

AL-FATIHAH - IBU SAUDARA ZIZI KIRANA KEMBALI KE RAHMATULLAH



Takziah kami ucapkan kepada penyanyi rap Zizi Kirana di atas pemergian ibu saudaranya iaitu Rusnani Kassim yang menghembuskan nafas terakhir di kampung halamannya di Sabah kira-kira pukul 2.40 pagi, Jumaat.

Menurut Zizi, dia dan adiknya mempunyai hubungan rapat dengan arwah ibu saudaranya itu memandangkan arwah yang menjaga mereka sejak kecil lagi. Bagaimanapun, Zizi masih belum dapat memastikan punca sebenar arwah yang mesra dipanggil sebagai umi itu meninggal dunia.

"Umi merupakan ibu saudara saya yang menjaga saya sejak kecil lagi. Saya dan adik memang sangat rapat dengan arwah... dia jaga kami sejak kecil. Kehilangan dia sangat memberi kesan sebab saya sudah menganggap arwah seperti ibu kedua saya," kata Zizi.

Klik untuk gambar besar



Berita duka itu turut diumumkan pengurus Zizi iaitu Bob ketika dihubungi media sebentar tadi. Menurut Bob, Zizi telah menerima perkhabaran sedih itu ketika selesai menjalani penggambaran drama kira-kira pukul 3 pagi tadi dan masih dalam keadaan terkejut.

"Ya..betul umi (ibu) Zizi meninggal dunia sekitar pukul 2.40 pagi tadi. Selepas habis shooting pukul 3 pagi, baru Zizi dapat tahu. Arwah meninggal di Sabah tapi saya tak pasti sakit apa.

"Buat masa sekarang, Zizi memang tak boleh nak bercakap.. dia diam sahaja. Saya pun tak nak tanya apa-apa lagi sebab dia tengah bersedih," jelasnya.


Sebelum ini, penyanyi dan pelakon Zarina Zainoordin memuat naik status di Instagram mengatakan ibu saudara Zizi meninggal dunia dan memohon agar semua orang mendoakan penyanyi itu serta keluarga diberikan kekuatan.

Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta berharap penyanyi berusia 36 tahun itu kuat menghadapi dugaan tersebut.

Dalam pada itu, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil kini sedang menguruskan perjalanan pulang ke Sabah selepas sudah mendapatkan kebenaran daripada pihak polis: "Saya kini berada di lapangan terbang untuk pulang ke Sabah," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Beautifulnara & Instagram Zizi Kirana

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: