16 March 2021

DA'I SYED MAHU TERUS MENYANYI WALAUPUN NAIK DENGAN IMEJ NEGATIF



"Saya rasa sedih dan sebagainya tapi saya kena reda dan terus nyanyi macam biasa walaupun naik dengan imej negatif. Saya kena jalani hidup macam biasa, buat engagement dengan peminat walaupun dengan keadaan macam ni," ujar pendakwah selebriti, Da'i Syed.

Da'i Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 26, berkata dia sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk membela diri.

Bagaimanapun sebagai seorang selebriti, dia perlu meneruskan kehidupan seperti biasa sementara menunggu proses di mahkamah berlangsung.

Sementara itu, pihak pendakwaan sudah menyerahkan dua dokumen berkaitan laporan perubatan bagi tuduhan kes merogol seorang wanita berusia 23 tahun pada 11 September 2019 yang dihadapi Da'i Syed.

Klik untuk gambar besar



Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rihaida Rafie di Shah Alam pada Selasa.

Nor Baizura memaklumkan dua dokumen itu adalah laporan perubatan daripada Hospital Shah Alam dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, di Temerloh, Pahang.

"Bagaimanapun satu lagi dokumen laporan perubatan daripada Hospital Kajang belum dapat diserahkan dan akan diberi kepada pihak pembelaan dalam masa terdekat," katanya.

Dalam prosiding itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Da'i Syed mengesahkan menerima kesemua dokumen berkaitan.



Berikutan itu mahkamah menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes dan pada tarikh itu juga beberapa dokumen tambahan akan turut diserahkan.

Pada 10 Disember tahun lalu, Da'i Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun yang juga penganggur di sebuah rumah di Seksyen 7 Shah Alam.

Mengikut pertuduhan, Da'i Syed didakwa merogol mangsa kira-kira pukul 11.35 malam, 11 September 2019 di Hyde Tower, I-City.



Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Selain di Shah Alam, Syed Shah Iqmal turut berdepan dua lagi tuduhan berkaitan jenayah seksual di Mahkamah Petaling Jaya.

Di Mahkamah Sesyen, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Di Mahkamah Majistret, pendakwah itu didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.





www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Da'i Syed

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: