04 March 2021

ISTERI DISAHKAN HIDAP KANSER PAYUDARA - NIZAM LAKSAMANA REDA, MOHON DOA



"Saya akan berusaha menyediakan yang terbaik untuk proses kemoterapi isteri. Yang diperlukan hanyalah doa daripada rakan-rakan dan peminat," itulah kata-kata penyanyi Nizam Laksamana, 55, apabila dia diuji dimana isterinya Salwati Zulkifli, 46, disahkan menghidap kanser payudara.

Nizam yang popular dengan lagu 'Gugurnya Bunga Cinta' bersama kumpulan Laksamana itu berkata, isterinya yang menghidap kanser di peringkat awal mula menjalani kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Jelas Nizam, proses kemoterapi berjalan lancar, namun apabila memasuki kitaran keempat hingga keenam, dos ubat berharga RM21,000 perlu dimasukkan.

"Ubat ini perlu diambil tapi tiada dalam jadual yang disediakan hospital. Insya-Allah saya akan dapatkan untuk kitaran keempat hingga keenam ini.

"HKL ada Jabatan Sosial. Doktor sendiri cadangkan saya buat permohonan bantuan daripada mereka. Doktor juga uruskan surat untuk saya mohon di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Kalau ada rezeki Insya-Allah akan dapat," jelasnya.

Dalam pada itu, Nizam bertegas tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak, dek kerana itu dia tidak memohon sumbangan daripada rakan-rakan dan peminat.

Klik untuk gambar besar



"Semua orang dalam keadaan sukar dan terkesan dengan penularan Covid-19 sekarang. Biarlah saya berusaha sendiri dengan simpanan yang ada. Selain itu, saya cuba nasib seperti arahan doktor. Mereka ada hubungan dengan Majlis Kanser Nasional (Makna).

"Sekiranya gagal mendapat bantuan daripada mana-mana pihak, saya akan berusaha mencari duit dengan kudrat sendiri menjual produk Muruku Lejen. Syukur permintaan semakin banyak dalam keadaan sekarang," ujarnya.

Nizam memberitahu, isterinya mula dikesan mempunyai tanda-tanda kanser payudara selepas membuat pemeriksaan di klinik kerajaan di Gombak lebih sebulan lalu. Menurutnya, dalam tempoh sebulan isterinya sudah dapat melakukan proses kemoterapi.

"Doktor yang membuat pemeriksaan mendapati ada ketulan. Doktor kemudian membuat ukuran dan terus aturkan temujanji untuk ke HKL. Doktor pakar di HKL mengesahkan isteri saya menghidap kanser payudara tapi tak besar hanya 1.6 sentimeter. Saya terharu kerana ajaibnya doa semua pihak, semua urusan dipermudahkan," katanya.

"Isteri saya amat sedih dan menangis selepas mendapat berita itu tapi saya banyak berikan dia semangat. Saya juga banyak dapatkan maklumat mengenai kanser daripada bekas pengurus Slam, Johan Aziz yang menghidap kanser usus dan hati serta isterinya yang juga menghidap kanser payudara," tuturnya yang mempunyai empat anak.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Nizam Laksamana

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: