23 April 2021

AL-FATIHAH - BAPA AZLAN & THE TYPEWRITER DIJEMPUT ILAHI, SELEPAS POSITIF COVID-19



Penyanyi Azlan & The Typewriter yang sebelum ini memaklumkan bapanya, Sallehudin Che Ani, 68, tenat selepas disahkan positif COVID-19 itu kini telah kehilangan bapanya akibat jangkitan tersebut, petang kelmarin (Rabu).

Allahyarham meninggal dunia pada jam 4.25 petang selepas tiga minggu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, di sini.

Berkongsi khabar duka itu, Azlan atau nama sebenar, Nor Azlan Rosle Sallehudin, 39, berkata, dia hanya dapat melihat detik terakhir pemergian ayah menerusi sidang video.

"Biarpun sedih tetapi saya reda dengan pemergiannya. Walaupun tidak berada di sisi arwah, tetapi pengurusan hospital mengizinkan kami membuat sidang video bersama adik-beradik yang lain.

"Saat paling menyedihkan apabila saya tengok Allahyarham perlahan-lahan menghembuskan nafas terakhir. Dalam situasi sekarang, saya akur apabila tidak dapat menguruskan sendiri jenazah bapa," katanya.

Azlan bagaimanapun dapat membuat bakti terakhir apabila berpeluang menunaikan solat jenazah bapanya itu. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang, kira-kira jam 10 pagi semalam.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Azlan & The Typewriter

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: