13 April 2021

AL-FATIHAH - BEKAS PENYAMPAI RADIO, SUBI KEMBALI KE RAHMATULLAH



Takziah kami ucapkan kepada keluarga bekas penyampai radio Era FM dan Suria FM iaitu Subi, 55, atas pemergiannya yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, di sini, selepas menjalani pembedahan buang usus, jam 1.38 petang ini.

Anak sulungnya, Nur Adibah, 24, berkata, arwah ayah menjalani pembedahan buang usus sepanjang 1.8 meter, jam 3.30 petang semalam. Sebelum itu, Nur Adibah berkongsi, arwah dibawa ke Hospital Serdang selepas mengadu sakit perut dan muntah.

"Bagaimanapun, badannya sudah tidak boleh menerima semua antibiotik diberikan. Arwah menghembuskan nafas terakhir selepas azan zohor. Kami tak sangka arwah ada masalah pada bahagian perut. Doktor mengesahkan ada saluran tersumbat pada bahagian usus dan pusatnya juga bengkak.

"Disebabkan itu, doktor perlu membuat pembedahan segera bagi mengetahui punca penyakit. Ini kerana jangkitan kuman merebak ke buah pinggang dan beberapa bahagian lain hingga menyebabkan keadaan arwah ayah semakin kritikal.

Klik untuk gambar besar



"Doktor memberi pilihan sama ada menjalani pembedahan atau tidak. Jika tidak dibedah, jangkitan kuman boleh merebak ke bahagian lain. Jika dibedah pula, risikonya tetap tinggi kerana denyutan jantung arwah sangat lemah.

"Kami akur menandatangani untuk menjalani pembedahan," kata Nur Adibah yang turut memaklumkan jenazah arwah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, Sepang pada petang ini.

Sebelum ini, arwah dilaporkan mengalami masalah hilang pendengaran sejak 2017. Disebabkan itu, arwah juga mengalami masalah keseimbangan badan hingga pernah jatuh di rumah dan kepalanya terhantuk di bucu meja.



Sejak itu, arwah menjadi semakin pelupa, malah pernah terbabit dengan kemalangan jalan raya, Ogos tahun lalu.

Subi atau nama sebenarnya, Subarma Mohtaruddin mendirikan rumah tangga dengan Aishah Saironi, 57. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nur Adibah dan Muhammad Yusof, 19.

Selepas tamat kontrak bersama Suria FM pada penghujung 2017, arwah Subi mengendalikan radio internet dan sistem karaoke sendiri.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: