16 April 2021

AL-FATIHAH - PELAKON VETERAN, ABU BAKAR OMAR DIJEMPUT ILAHI



"Di kemuliaan pagi Jumaat 4 Ramdhan 1442H bersamaan 16 April 2021 jam 9.04 pagi.. Dengan sedih keluarga memaklumkan bahawa ayahanda kami Tuan Haji Abu Bakar Omar telah dijemput kembali ke rahmatullah," demikian tulis Mohd Zainuddin Abu Bakar yang memaklumkan bapanya, pelakon veteran Abu Bakar Omar telah meninggal dunia pagi tadi.

Berita sedih tersebut dikongsikan anak Allahyarham sendiri menerusi sebuah posting di Facebook. Difahamkan, Allahyarham Abu meninggal dunia selepas didapati mengalami masalah jantung.

Menurutnya lagi, jenazah Allahyarham bapanya akan disolatkan di Masjid Al Ghufran sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru selepas waktu Asar.

Dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar pada 25 April 1948, Allahyarham banyak membintangi filem dan drama tempatan. Antara filem popular 'Cinta Kolestrol', 'Hingga Hujung Nyawa' dan 'Duyung'. Paling terbaru, Allahyarham membintangi drama 'Khilaf Terakhir' yang ditayangkan pada Januari lalu.


www.myartis.com / Sumber: Rotikaya

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: