17 April 2021

ALONG EYZENDY: "TAK DAPAT BALAS JASA DIA, SAYA DOAKAN SYURGA BUATNYA"



Betapa besarnya pengorbanan isteri pelakon Along Eyzendy iaitu Hamidah Mohd. Yatim yang mendermakan buah pinggang kepada suaminya. Pelakon berusia 42 tahun itu dan Hamidah, 37, melakukan proses pemindahan buah pinggang di Hospital Selayang pada 15 April lalu dan kini masih dalam pemulihan.

"Saya memang tak dapat nak balas jasa dia. Saya harap dan mendoakan syurga buatnya. Kami masuk wad pada 10 April lalu. Semalam baru saya dikeluarkan dari unit rawatan rapi (ICU). Mungkin saya akan ditahan selama dua minggu dan isteri keluar awal sikit. Alhamdulillah, keadaan kami berdua stabil," katanya.

Along berkata, keinginan isterinya untuk mendermakan sebelah buah pinggang bermula apabila menemaninya setiap kali menjalani pemeriksaan doktor.

"Doktor beritahu cara untuk pulihkan buah pinggang sepenuhnya ialah menerusi pemindahan buah pinggang. Dari situlah isteri kata dengan doktor, dia berminat nak buat. Mulanya saya terkejut juga.

"Dia cakap buat ujian dulu untuk tengok keserasian. Dia nak dermakan buah pinggang kanan. Setahun juga kami ambil masa untuk buat pemeriksaan untuk tengok hasil. Kebetulan darah kami sama jenis AB. Alhamdulillah isteri pun sihat tiada apa-apa penyakit," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Along yang berkahwin dengan Hamidah, seorang suri rumah tangga dan dikurniakan tiga anak itu memberitahu, proses tersebut sepatutnya dibuat pada Januari lalu tetapi tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Kos untuk proses ini saya tanggung sendiri. Namun syukurlah saya dapat sumbangan daripada kawan sekolah. Saya amat terharu dan berterima kasih kepada mereka.

"Sedikit sebanyak ia membantu juga. Harapan saya agar cepat sembuh untuk kembali bekerja bagi menampung keluarga," katanya yang mengajar di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Terdahulu, Along dilaporkan menghidap sakit buah pinggang kronik. Menurutnya, buah pinggangnya rosak dan hanya 19 peratus berfungsi.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: