24 April 2021

AMALAN SEKOLAH 'SPOT CHECK' HAID - SHARIFAH AMANI & SHARIFAH ALEYA BERANG, KONGSI KISAH



Di laman sosial ketika ini sedang hangat diperkatakan berhubung isu melibatkan pelajar perempuan yang didatangi haid terpaksa jalani pemeriksaan sama ada mereka memakai tuala wanita atau sebaliknya di sekolah.

Tertarik dengan isu yang dibangkitkan itu, pelakon dan pengacara Sharifah Aleya berkongsi pengalamannya beberapa kali berdepan situasi tersebut ketika di bangku sekolah.

Aleya atau nama sebenarnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al Yahya, 38, menerusi Twitter miliknya turut mengakui situasi itu juga menjadi punca ibunya iaitu Fatimah Abu Bakar tidak menghantarnya ke sekolah berasrama.

"Ini mesti penyebab kenapa ibu saya berkeras tidak mahu saya ke sekolah berasrama. Walaupun hakikatnya saya masih berdepan situasi 'betul ke period? Nanti cikgu check baru tahu!' di sekolah harian biasa.

"Tapi kami akan terus pulang ke rumah, tak berani nak menipu. Takut kantoi. Sudah tentu saya pernah ditanyakan soalan terbabit beberapa kali.

Klik untuk gambar besar



"Saya hanya membalas What?, jadi ia dapat membantu saya mengekang isu itu rasanya. Sekiranya hal sama berlaku kepada anak perempuan saya, seseorang akan kena nanti," tulisnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila netizen meminta pandangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai paksaan pelajar untuk mebuktikan mereka datang haid.

Difahamkan individu tersebut mahukan penjelasan apabila terdapat sesetengah sekolah yang memaksa pelajar perempuan membuktikan mereka dalam keadaan 'uzur' atau period.

Malah individu tersebut juga memberitahu terdapat sekolah yang didakwa tergamak meminta pelajar mencalit kemaluan mereka untuk menunjukkan darah kepada guru atau pengawas sekolah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Rina Mohd Harun yang terkejut dengan isu itu berkata dia memandang serius dengan amalan sesetengah guru yang melakukan pemeriksaan tersebut.


Dalam pada itu, Aleya turut menyanggah pertanyaan segelintir pengguna yang terdiri daripada kaum lelaki berkenaan tindakan memeriksa (dengan cara meraba) untuk mendapat kepastian.

"Jantan-jantan yang tanya 'kalau tak raba, macam mana nak pastikan pelajar tu period ke tak? Dengan segala hormatnya pergi mam*** sebelum kau jahanamkan hidup bini, anak perempuan, adik perempuan atau kakak kau. Bukan hak kau untuk cari kepastian," ujarnya.

Sementara itu, adik kepada Aleya iaitu pelakon Sharifah Amani turut mendedahkan dia pernah berdepan dengan situasi tersebut dan memberikan amaran kepada ustazah di sekolahnya.

"Dulu ustazah pernah nak periksa saya... kemudian saya teringat, mama cakap kalau ada sesiapa yang sentuh kita tanpa keizinan, kita boleh heret ke polis.

"Jadi saya jawab kat ustazah 'silalah ustazah kalau berani hadap polis'. Dia cuak kemudian lepaskan saya. Nasib baik mama ajar kami," kata Amani.


www.myartis.com / Sumber: mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: