18 April 2021

BARU KELUAR HOSPITAL - AWIE ENGGAN DEDAH PENYAKIT



Penyanyi, pelakon dan penerbit, Datuk Awie difahamkan baru-baru ini telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta terkenal di Ampang. Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 53, berkata, situasi ini hampir merencatkan perancangan program sumbangan Misi Kemanusiaan Sayap-Sayap Wings serta Majlis Aqiqah & Berendoi anak keenamnya, semalam.

"Saya tak berapa sihat sebenarnya kerana baru keluar hospital. Saya tak dapat nak uruskan majlis. Yang banyak bantu saya ialah Presiden Sayap-Sayap Wings iaitu Zul. Dari dalam wad, saya kerap hubungi dia termasuk pada jam 3 ke 4 pagi untuk beri arahan. Maka jadilah majlis pada hari ini (semalam).

"Semuanya terjadi dalam tempoh masa yang amat singkat. Syukur Alhamdulillah kami dapat penama-penama yang kurang bernasib baik dan esok (hari ini) kami akan hantar ke rumah mereka yang tak dapat hadir," katanya.

Menerusi majlis terbabit, penyanyi kumpulan Wings ini turut memberikan sumbangan terhadap bekas pengamal media dan pegawai perhubungan syarikat rakaman yang banyak berjasa menaikkan mereka selama ini.

Biarpun didesak, Awie bagaimanapun enggan membuka mulut bercerita mengenai penyakitnya. Dalam perkembangan lain, Awie melahirkan perasaan lega kerana dapat kembali beraksi dalam persembahan.

"Wallahuallam. Adalah bendanya. Daripada situ komplikasinya merebak. Saya ingat mungkin selepas ini, saya akan berehat panjang. Tengoklah pada keadaan.

"Saya akan buat showcase solo Awie Raikan Cinta Ramadan pada 30 April ini di Melaka dan diikuti Raikan Cinta Ramadan bersama Wings di Premiera Hotel, Kuala Lumpur pada 1 Mei pula. Saya gembira kerana sekurang-kurangnya saya dan anggota Wings tak mereput di rumah tanpa buat apa-apa aktiviti.

"Kami nak kerja macam orang-orang biasa yang masuk pejabat. Kerja kami adalah menghiburkan orang, tak kiralah sama ada bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri. Ada peluang kami pasti akan kerja," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: