23 April 2021

EMPAT TAHUN HIDUP DUDA - ADAM SHAHZ AKUI SUDAH TEMUI CINTA BAHARU



Pelakon Adam Shahz, 40, mengakui sudah menemui cinta baharu dengan seorang wanita berstatus ibu tunggal berusia 37 tahun yang mahu dikenali sebagai 'Auntie Baby', selepas empat tahun hidup menduda.

Adam atau nama sebenarnya, Nor Shah Azli Abdol Ghani berkata, perkenalannya dengan wanita itu berlaku secara kebetulan dan mereka makin rapat sejak tahun lalu.

"Buat masa ini, saya nak rahsiakan dulu identiti sebenarnya. Namun, saya tak nafikan sering berkongsi foto kekasih dan video bersama di Instagram kerana tidak mahu terlalu berahsia mengenai hubungan kami.

"Dia bukan selebriti, tapi mempunyai perniagaan sendiri. Selama saling mengenali, saya selesa dengan sikapnya kerana dia sangat memahami, penyayang dan ada keserasian di antara kami. Apa yang diharapkan, semoga ada sampai jodoh kami naik pelamin nanti. Saya tak pernah tutup pintu hati untuk bercinta biarpun gagal dalam perkahwinan terdahulu.

"Hidup, jodoh, rezeki dan ajal adalah ketentuan Allah. Apa yang pernah berlaku dalam kehidupan rumah tangga saya yang lalu adalah pengalaman dan pengajaran," katanya.

Klik untuk gambar besar



Untuk makluman, Adam pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Fatin Afeefa pada 2013 sebelum bercerai pada 2017. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ivy Herra Sophia yang kini berusia enam tahun.

Bercerita mengenai penerimaan anaknya, Adam berkata, Ivy sudah diperkenalkan dengan kekasihnya itu dan masing-masing dilihat boleh menerima di antara satu sama lain dengan baik.

Adam yang membintangi filem 'Juvana' dan 'Juvana 2' itu pernah memenangi anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-28 lalu. Selain filem, dia juga aktif berlakon drama.

Bagaimanapun, tahun lalu Adam membuat keputusan memperlahankan kerjaya seni kerana memberi tumpuan kepada tugas sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu orang ramai yang terjejas berikutan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: