25 April 2021

LULUH HATI LIHAT ISTERI MENDERITA - NIZAM LAKSAMANA TERIMA SUMBANGAN DARI FINAS



"Saya tak sanggup melihat isteri menanggung kesakitan ini. Jika boleh biarlah saya menanggung semuanya, namun apakan daya. Isteri sudah merasai kesakitan ketika melahirkan empat zuriat kami. Kali ini, dia menanggung lagi kesakitan yang saya tak boleh bayangkan.

"Isteri baru menjalani proses kemoterapi peringkat ketiga, minggu lalu. Proses kemoterapi ini perlu dilakukan setiap tiga minggu. Kebiasaannya, isteri akan sakit perut, muntah, mual, sakit badan, tak boleh makan dan tidur selepas menjalani proses kemoterapi. Ada kala, dia meracau pada waktu malam disebabkan kesan ubat.

"Sampai satu tahap, dia tak mahu dan merayu tidak meneruskan proses kemoterapi disebabkan terlalu sakit. Saya lihat isteri semakin kurus dan kurang bermaya," itulah kata penyanyi Nizam Laksamana, 55, apabila hatinya luluh setiap kali melihat isterinya, Salwati Zulkifli, 46, yang menghidap kanser payudara mengerang kesakitan selepas menjalani proses kemoterapi.

Salwati dikesan menghidap penyakit kanser payu dara sejak penghujung Januari lalu kini sedang melalui enam peringkat kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur. Melihat penderitaan isteri yang semakin kurus dan tidak bermaya, Nizam berkata, jika boleh, dia mahu menanggung segala kesakitan isterinya itu.

Bagaimanapun, Nizam berkata, isterinya akan merasai kesan yang lebih kuat disebabkan dos ubat bertambah untuk peringkat akan datang. Justeru, katanya, dia akan terus memberikan semangat dan sentiasa berada di sisi isterinya.

"Saya tak tahu bagaimana isteri akan lalui dengan proses kemoterapi peringkat seterusnya. Namun, saya percaya inilah ujian yang diberikan Allah kepadanya. Sakit adalah menghapuskan segala dosa-dosanya," tuturnya.

Nizam ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid menerusi program Ziarah Kasih FINAS Prihatin 3.0 di kediamannya di Kampung Bandar Dalam, Gombak pada Khamis lalu.

Tidak hanya prihatin dan menghulurkan sumbangan kepada penggiat filem, sebaliknya FINAS turut mengambil berat kebajikan golongan penyanyi menerusi program Ziarah Kasih FINAS Prihatin 3.0. Usaha itu dapat dilihat menerusi inisiatif membantu dan menziarahi Nizam.

Menerusi kunjungan itu, FINAS dan rakan strategik menghulurkan sumbangan berbentuk wang dan barangan keperluan tajaan rakan strategik seperti Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cdert Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam (APM), Yayasan FELDA dan Koperasi Al-Najah Berhad.

Mengakui tersentuh dengan keprihatinan FINAS, penyanyi 'Gugurnya Bunga Cinta' itu berkata, dia tidak menyangka ramai hadir ke rumahnya untuk berkongsi rezeki.

Klik untuk gambar besar



"Saya sangkakan hanya satu atau dua wakil FINAS datang. Saya terkejut tengok Pengerusi FINAS dan ramai rakan strategik hadir sama. Tak sangka Zakaria sanggup turun padang jenguk kami.

"Saya sangat bersyukur masih ada yang mengingati kami. Lebih terharu dan mengejutkan, FINAS menghulurkan sumbangan dari segi kewangan. Sememangnya, saya tak sangka langsung, ingatkan datang bertanya khabar.

"Ini kerana selalunya FINAS banyak berurusan dengan pelakon dan penggiat filem, tetapi nampaknya FINAS sudah melangkaui kebiasaan dan membela nasib penyanyi dan pemuzik. Ini satu perkembangan baik, sekali gus golongan penyanyi ada tempat untuk mengadu," ujarnya.

Dengan bantuan itu, bekas peserta program realiti, Gegar Vaganza musim kedua (GV2) itu berkata, dia menggunakan sumbangan dihulurkan bagi menyara kehidupan keluarga dan menampung kos rawatan isteri.

Bagaimanapun, Nizam berkata, dia mahu berusaha mencari wang daripada titik peluhnya sendiri, tanpa meminta bantuan. Disebabkan itu, dia kini menjual kuih muruku.

"Sekarang masih belum ada undangan nyanyian, jadi saya berniaga muruku bagi mencari rezeki. Jujurnya, ia tidak membantu menampung semua perbelanjaan, tetapi membolehkan saya menyediakan makanan atas meja.

"Berapa sangat keuntungan yang terima daripada berniaga maruku, sebalang hanya RM14. Tetapi, saya tetap bersyukur dari situlah, saya dapat bagi makan anak-anak.

"Saya tidak mahu bergantung pada bantuan orang. Ia bukan bermaksud saya sombong, tetapi saya mahu berusaha sendiri. Saya sedar ramai yang mengalami kesusahan pada pandemik ini. Saya bernasib kerana anak-anak semuanya sudah habis belajar, jadi sedikit sebanyak meringankan tanggungan saya," katanya.

Untuk makluman, Nizam dan Salwati mendirikan rumah tangga pada 1995 dan dikurniakan empat cahaya mata yang kini berusia antara 25 sehingga 17 tahun.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: