14 April 2021

MASIH TRAUMA INSIDEN DISAMBAR API - ALI XPDC ALAMI GANGGUAN PERNAFASAN



Penyanyi kumpulan rock XPDC iaitu Ali yang berdepan insiden disambar api pada tahun lalu itu mengakui kini masih menjadi trauma kepada dirinya. Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail berkata, dia kini lebih berhati-hati dan menyedari hikmah disebalik pengalaman buruk itu.

"Saya memang reda dengan apa yang berlaku pada diri saya tahun lalu. Semua yang terjadi sudah tertulis oleh Allah. Bagi saya, ia satu ujian untuk saya.

"Tapi saya ada juga masalah trauma bila berdepan dengan api. Bila nampak api, saya akan lebih berhati-hati. Saya ingat lagi, masa kejadian itu berlaku... kening dan bulu mata saya tak ada sebab terbakar.

"Barulah saya tahu kenapa Allah berikan bulu mata... sebab nak tahan air dari masuk ke dalam mata. Kalau tak ada bulu mata, bila mandi terus masuk air dalam mata. Barulah saya tahu besar peranan bulu mata," kata penyanyi berusia 53 tahun ini.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Ali meluahkan rasa syukur apabila keadaan dirinya kini sudah 80 peratus sembuh namun terpaksa berdepan dengan masalah pernafasan disebabkan kemalangan itu.

"Alhamdulillah, syukur... saya sudah 80 peratus pulih selepas tahun lalu disambar api. Muka dan tangan melecur, kaki pun ada terkena juga.

"Selepas insiden itu, saya alami masalah pernafasan. Saya kena pergi ke klinik setiap kali rasa tak sedap badan dan sukar untuk bernafas. Tapi bila ke klinik, kos agak tinggi. Lebih kurang RM80 hingga RM100.


"Kebetulan, ada rakan kenalkan saya dengan mesin oksigen yang membantu pernafasan dan saya gunakan. Walaupun harga boleh tahan tapi memikirkan kesihatan, saya perlu beli.

"Sekarang ini, saya dah kurang alami masalah pernafasan tapi saya tak boleh terlalu aktif sangat sebab kalau aktif sangat, dada jadi ketat dan memerlukan mesin itu," ujarnya.

Terdahulu, dalam kejadian pada 26 Mac tahun lalu, Ali disambar api ketika sedang membakar sampah menggunakan mintak petrol di belakang rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang.

Akibat daripada kemalangan tersebut, penyanyi lagu 'Aku Dan Sesuatu' itu mengalami kecederaan yang sangat serius apabila muka dan tangannya melecur 30 peratus.


www.myartis.com / Sumber: mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: