29 April 2021

NAFI DAKWAAN KAHWIN DENGAN ANNUAR MUSA - NORA ARIFFIN AKUI MASIH SENDIRI



Baru-baru ini, penyanyi Datuk Nora Ariffin telah terpalit dengan satu gosip dimana beliau kini dikatakan sudah bergelar isteri kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Kontroversi ini heboh diperkatakan netizen di laman Twitter selepas seorang pengguna memuat naik status mendakwa kedua-duanya sudah berkahwin.

Nora atau nama sebenar Wan Norafizah Wan Ariffin, 48, yang terkejut dengan dakwaan tersebut telah tampil mengesahkan dirinya masih solo, sekaligus menafikan khabar angin berkenaan.

"Saya tiada akaun Twitter dan tidak tahu apa yang berlaku... ia fitnah. Selepas menerima pelbagai pertanyaan dan ucapan tahniah, barulah saya tahu.

"Saya masih lagi bersendirian, malah sedang sibuk dengan jual nasi kerabu dan rendang tok. Ini bulan Ramadan, tak baik cerita bukan-bukan ya. Kalau betul saya berkahwin dengan VVIP, tak perlulah saya nak susah payah buat semua kerja itu," katanya.

Klik untuk gambar besar



Pada malam Rabu, seorang pengguna akaun Twitter memuat naik status dan foto mengucapkan tahniah serta mendakwa Nora sudah bernikah dengan Annuar.

"Tahniah @AnnuarMusa kerana memiliki 'Datuk' yang istimewa. Dah berkepak kepak kabom. Patut garang bebenor sekarang. I like... hurmmm... Aummmm...," tulis pemilik akaun berkenaan.

Bagaimanapun, anak sulung Nora, Mohd Syakir Iman Johan tampil menjawab tuduhan terbabit menerusi medium sama. Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular itu, Syakir menganggap perkongsian itu merupakan satu fitnah jahat terhadap ibunya.

"Kepada semua peguam, ini dianggap satu fitnah? Baru bertanya kepada salah seorang ahli keluarga saya. Jika pengguna itu menyatakan bahawa Tan Sri Annuar Musa telah berkahwin dengan Datuk Nora, tolong kemukakan bukti atau memang kerja dia reka fitnah murahan.


"Ini fitnah semata-mata. YB Annuar bukan bapa tiri saya. Tak perlu ambil serius. Yang tweet pun macam tak boleh pakai saja," tulisnya.

Sementara itu, Nora meluahkan rasa lega apabila anaknya sudah menjelaskan mengenai perkara itu menerusi laman Twitter.

"Saya tidak marah pun... saya anggap perkara ini melucukan. Mungkin mereka hendak usik saya. Anak sulung saya dah beritahu dia sudah menafikan berita itu di Twitter. Walaupun saya tidak tahu apa yang ditulisnya tapi tindakan itu melegakan hati saya.

"Memang saya mengenali beliau (Annuar) dan kenamaan lain. Tetapi, selalunya atas urusan kerja. Sebagai penyanyi, adalah perkara biasa untuk saya bertemu dengan pelbagai golongan... setakat itu sahajalah," ujarnya.

Penyanyi lagu 'Desa Tercinta' ini bergelar ibu tunggal selepas pemergian suaminya, Johan Nawawi yang juga seorang komposer ternama pada 24 Mac 2017.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: